
Sekiranya anda pernah melawat bandar-bandar penuh sesak dunia seperti Paris, Milan atau Dortmund, pasti anda melihat bagaimana skuter elektrik sangat membantu. Selesa dan jimat, skuter elektronik sudah menjadi salah satu perkara yang biasa di mana-mana bahagian di negara Eropah.

Selain kemampuan dan praktikaliti, skuter ini mudah dikendalikan. Lebih menarik lagi, e-skuter dan juga e-bike keluaran negara China menjadi salah satu perkara yang paling mudah didapati. Sebagai contoh, Jonway. Sebuah syarikat yang dulunya dikenali sebagai sebuah pengeluar motosikal yang kurang berjaya telah mula menceburi skuter elektrik.

Terbaharu, Jonway menawarkan Y2 yang menyasarkan bandar-bandar sesak di Eropah. Harga yang ditawarkan pula hanya €995 bersamaan RM5673.92. Mungkin, ada yang beranggapan skuter ini tidak mampu bertahan lama. Suka atau tidak, teknologi China telah berkembang maju sekali gus mematahkan stigma yang mengatakan produk keluaran negara Tembok Besar ini tidak tahan lama. Dengan kemampuan Y2 menembusi pasaran Eropah, bermaksud ia pasti melepasi standard keselamatan yang ditetapkan.
Dilengkapi bateri ion-litium 48V-20Ah dengan kemampuan mencecah sehingga 50 km pada sekali pengecasan. Motor elektrik 500-watt memacu roda belakang dan kelajuan tertinggi Y2 ini adalah 45 km/j. Dengan berat hanya 51kg, skuter elektrik ini sesuai digunakan untuk perjalanan dekat.
Sumber : Rideapart.com