Konvoi diketuai oleh Presiden SAMA, Datin Seri Elly Zalilah Mohd Yusoff. Konvoi ini cukup panjang, membabitkan 350 orang penunggang motosikal dari pelbagai jenis. Pengasas Kuching International Bike Week, Dato Seri Shahrizal Mohd Ishak tidak ketinggalan menyertai konvoi penutup program SAMA bagi tahun 2019.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bersama isterinya, Datin Zuraini Abdul Jaabar juga turut menyertai konvoi yang mencatat sejarah SAMA. Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sememangnya tidak asing bagi pemilik dan penunggang motosikal di Sarawak. Beliau seorang penunggang yang cukup berpengalaman dan berjiwa kental.
Jelas dapat dilihat, program ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan hubungan antara ahli pelbagai kelab motosikal di negeri Sarawak. Mereka terdiri daripada semua denominasi, sama ada memiliki motosikal besar dan kecil serta dari pelbagai kaum dan agama.
SAMA secara rasmi didaftarkan pada 15 Ogos lalu. Terdapat 100 kelab motosikal tempatan di negeri Sarawak berpayung di bawah SAMA. Terkini SAMA memiliki 4,000 ahli. SAMA berhasrat untuk diiktiraf sebagai badan berkuasa motosikal negeri, bertindak sebagai platform rasmi untuk semua penunggang motosikal Sarawak.
Peserta konvoi “Serian Durian Ride” telah dijamu sebanyak 500 biji buah durian di Kampung Sorak Melayu yang ditaja oleh SAMA. Semoga usaha SAMA dalam memperjuangkan hak penunggang motosikal untuk menggunakan jalan raya yang selamat dan sopan mencapai matlamat.
Disediakan oleh : Janggo