Sentuhan Lebih Sporti dan Patuh EURO4


Terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai motosikal paling efisien dan sesuai untuk pelbagai kegunaan, Honda Dash125 edisi 2022 – membawa kombinasi yang sempurna dari segi penampilan yang sporti, pengalaman menunggang yang selesa dan harga yang berbaloi kepada semua penunggang motosikal.

Untuk versi 2022, Boon Siew Honda mengumumkan Honda Dash125 baharu dilengkapi dengan enjin yang mematuhi piawaian emisi EURO4. Sebelum itu, model yang sama versi 2019, hanya dilengkapi dengan piawaian EURO3 sahaja.

Berikut merupakan beberapa ciri menarik yang pada edisi Honda Dash125 2022:
• Konsep rekaan yang segar berserta grafik bergaris aksen baharu
• Meter dail baharu yang membawa sentuhan moden dan bacaan jelas
• Rekabentuk visor hadapan baharu untuk aerodinamik lebih lancar dan pemegang penutup baharu
• Enjin 125cc patuhan EURO4 berserta EEV (Energy Efficient Vehicle)

Honda Dash125 cukup dekat di hati rakyat Malaysia sebagai jentera dengan rekaan sporti dan kecekapan kosnya. Untuk model 2022 ini, ia dikuasakan oleh enjin 125cc yang telah diperhalusi dan dilancarkan serta mematuhi piawaian EURO4 yang menghasilkan kurang karbon dioksida dan mesra alam.

Diperbaharui oleh konsep penggayaan grafik bergaris aksen yang menyegarkan rekabentuknya berserta penampilan lebih sporti yang dapat mengujakan mana-mana penunggang berjiwa muda yang mencari naik taraf yang berpatutan.

Jika dilihat dari sudut depan, rekabentuk hadapan agak aerodinamik dengan visor kecil di bahagian atas meter. Selain itu, perubahan kecil ialah seperti handle grip berserta set balancer baharu yang memberikan penunggang rasa yang menyenangkan, sama ada menunggang di bandar mahupun di lebuh raya.

Dash125 baharu juga disertakan lampu hadapan LED untuk penglihatan yang lebih jelas dalam apa jua keadaan pencahayaan dan memberi siluetnya sentuhan yang moden. Honda Dash125 didatangkan meter dail baharu, menyampaikan maklumat yang diperlukan penunggang sambil tampil bergaya.

Model terkini dari Honda dipadankan dengan sistem pemberhentian jenis cakera samada di bahagian depan mahupun belakang sekali gus memberikan prestasi pemberhentian yang optimum dan seimbang untuk keselamatan pengguna.

Honda Dash125 hadir pada tag harga RM6,449 seunit (tanpa perlindungan insurans, cukai jalan dan pelbagai lagi) dan model ini hadir dalam warna Candy Scintillate Red, Pearl Nightfall Blue dan Clipper Yellow.