Semarakkan Semangat Patriotik Melalui Komuniti Permotoran

Program Experience Kedah Motor Fest Merdeka 69 yang berlangsung pada 22 Ogos 2026 di Muzium Negeri Kedah berjaya menghimpunkan komuniti permotoran, peminat motosikal serta masyarakat dalam suasana penuh semangat patriotik bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Acara ini dianjurkan oleh CL Motorsport Resourses dan RSX Northern Official, dengan kerjasama Northern Kedah Empire Scooter (NKeS) serta Muzium Negeri Kedah. Jemputan Khas Art Sonet Garage turut serta dalam menjayakan program ini. Pemilihan Muzium Negeri Kedah sebagai lokasi program memberi peluang kepada komuniti permotoran untuk berkumpul, beraktiviti, serta mengenali dan menghargai sejarah serta warisan negeri.

Antara pengisian utama program ialah konvoi motosikal yang melibatkan kira-kira 300 buah motosikal daripada pelbagai komuniti dan kelab permotoran. Konvoi tersebut turut disertai oleh Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, bersama para peserta konvoi dengan membawa serta mengibarkan Jalur Gemilang menuju ke Padang Garam, Kuala Kedah.

Penglibatan pemimpin negeri bersama komuniti permotoran ini dilihat sebagai satu usaha positif dalam menyemarakkan semangat patriotisme, selain mendekatkan masyarakat khususnya golongan anak muda dengan sejarah, budaya dan lokasi-lokasi menarik di Kedah. Konvoi ini menjadi simbol perpaduan komuniti permotoran dalam menyemarakkan semangat patriotik dan kecintaan terhadap negara. Pihak penganjur turut mengucapkan terima kasih kepada PDRM Cawangan Kota Setar atas kerjasama mengiringi serta melancarkan aliran trafik peserta ke Port Padang Garam.

Bagi memeriahkan suasana, program ini turut menyelitkan pelbagai aktiviti menarik seperti Auto Show, permainan motosikal lambat, motosikal pusingan 8 terpantas, gusti lengan dan kerusi berirama yang mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada pengunjung.

Menurut jurucakap Northern Kedah Empire Scooter, program ini membuktikan bahawa komuniti permotoran mampu menjadi medium positif dalam menyatukan masyarakat serta membawa mesej kemerdekaan, keselamatan jalan raya, pelancongan, dan kecintaan terhadap negeri Kedah.

Beliau menegaskan bahawa komuniti permotoran bukan sekadar kumpulan berkenderaan di jalan raya, tetapi mampu menyumbang kepada masyarakat, mempromosikan pelancongan, menghargai sejarah, dan menyemarakkan semangat cintakan negara. Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada penaja utama, EXN Lube, atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan Experience Kedah Motor Fest Merdeka 69.

Penghargaan turut diberikan kepada barisan penaja dan rakan sokongan yang menyumbang kepada kejayaan program iaitu Koyoko, Continental, Bike Station, Akaso 360, N4 Camera Store, Road Star, IGL Coating, GIVI, Go Bike Today, SHY, Secawan Pahit, The Cavalry, Wind Runner, Experience Kedah, Reka Builder, Shah Brotherzzz, Miraz Mie Motorsport, Beng Motor Alor Setar, Kafe Sungai Derga, Teruna Restaurant, Samurai, Triumph Penang, Darsa Friend Chicken dan 99 SPEED.

Pihak penganjur turut menyampaikan penghargaan khas kepada Muzium Negeri Kedah, Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin, agensi-agensi yang terlibat, para sukarelawan, komuniti permotoran, serta semua peserta yang hadir memberikan sokongan sepanjang program.

Secara keseluruhannya, Experience Kedah Motor Fest Merdeka 69 membawa mesej bahawa komuniti permotoran mampu menjadi duta pelancongan, sejarah, dan patriotisme negeri Kedah. Program ini diharapkan dapat terus menjadi platform berterusan untuk menyatukan komuniti permotoran, mempromosikan pelancongan negeri Kedah, serta menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.