Semak Ketulenan Produk KYB Adalah Tanggungjawab Anda!

PERNAHKAH anda terfikir bahawa setiap barangan yang kita beli samada secara terus atau menerusi secara dalam talian benar-benar tulen atau sebaliknya? Apakah kita sekadar mengiyakan sahaja apa yang diberikan oleh penjual.

Tidak dinafikan, ada sesetengah penjual jujur menegaskan bahawa barangan tersebut mempunyai grednya tersendiri. Dewasa ini, ramai pembeli lebih menggemari untuk membeli secara dalam talian (online) samada ia ditawarkan harga yang lebih rendah, memudahkan pengguna atau tidak perlu bersesak dengan orang ramai.

Bagi melindungi hak pengguna, pengeluar komponen penyerap hentakan jenama KYB mengambil insentif untuk memastikan barangan yang dibeli oleh pengguna benar-benar ‘ori’ atau sekadar barangan ‘fake’ atau palsu.

Dengan mengikuti beberapa langkah, anda boleh memastikan produk KYB yang anda beli benar-benar tulen atau sebaliknya. Caranya mudah! Apa yang perlu anda lakukan, hanyalah memuat turun aplikasi
ZHcode dari Playstore / App Store.

Langkah seterusnya anda perlu mengimbas bar kod dengan menggunakan pengimbas ZHcode pada kotak barangan KYB yang dibeli dan anda perlu mengguris bahagian berwarna perak untuk mendapatkan nombor siri barangan tersebut.

Selepas itu, anda hanya perlu mengisi empat ruang kosong bagi pendaftaran pengesahan jaminan yang akan diberikan oleh pihak KYB. Ianya sangat mudah dan bukan sahaja KYB memberi jaminan terhadap produk yang anda beli malah paling penting anda tidak akan tertipu dengan pembelian barangan KYB yang bukan tulen.