Satu Sejarah Tercipta di RTC Gopeng, Perak!

Satu detik bersejarah telah tercipta buat komuniti peminat motosikal tempatan apabila Viciously Fast Malaysia (VFM) berjaya menganjurkan Mega Gathering VF3i Evolution 2025 buat pertama kalinya di RTC Gopeng. Diadakan pada 11 Mei lalu, acara bermula seawal jam 9 pagi dan berlangsung meriah sehingga 6.30 petang, menghimpunkan lebih 1,000 buah motosikal VF3i dari seluruh pelusuk negara.

Kehadiran luar biasa ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan komuniti dua roda, malah menunjukkan betapa kukuhnya semangat ukhuwah dalam kalangan pemilik dan peminat jentera VF3i. Para peserta hadir dengan pelbagai gaya dan modifikasi menarik, membuktikan kreativiti serta minat mendalam terhadap dunia permotoran.

Antara kemuncak program ialah Pertandingan Motorshow yang menampilkan 55 buah motosikal modifikasi terbaik dari seluruh Malaysia. Selain itu, acara Sukaneka “Sayang Motor” turut mencuit hati apabila para peserta tampil dengan aksi paling kreatif untuk menunjukkan kasih sayang terhadap motosikal masing-masing. Acara Motor Paling Perlahan pula menguji kemahiran kawalan dan keseimbangan penunggang dalam suasana santai tetapi mencabar.

Lebih menarik, suasana acara dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti gerai jualan aksesori dan peralatan motosikal, pameran khas, serta sesi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik. Kehadiran pengunjung yang berbilang latar belakang menjadikan Mega Gathering ini sebagai satu pesta permotoran yang penuh warna dan kemeriahan.

Kejayaan acara ini tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada para penaja yang hebat, antaranya MForce, JMG Garage, Redous Tayar, Koyoko, KZR, Tenaga Moto Bangi, BBRT Dyno, RZ Bikers Performance, Dash Oil, United Oil Sang Penderhaka, Art of Speed Garage, VFG Garage, Ustaz Jetrod, Roadstar dan Roda Panas. Sokongan mereka amat dihargai dalam merealisasikan impian komuniti VF3i untuk berkumpul dalam skala besar.

Tahniah diucapkan kepada pihak VFM atas penganjuran yang cukup berjaya dan tersusun ini. Diharapkan Mega Gathering VF3i Evolution ini akan diteruskan sebagai acara tahunan yang mampu menyatukan lebih ramai pencinta VF3i dari seluruh negara, serta memperkukuh lagi semangat kekeluargaan dalam komuniti permotoran Malaysia.