Sasar Pasaran Di Asia Dan Eropah, Tandingi Vespa?

LVNENG, satu jenama yang pastinya tidak pernah didengari sebelum ini. Disebut sebagai Lu-Neng, ia merupakan satu lagi e-skuter yang dikeluarkan oleh pengeluar dari China. Berbanding beberapa jenama yang dikeluarkan dari negara ini, LVNENG dikatakan telah menjalani R&D (penyelidikan dan pembangunan) sebelum menghasilkan produk keluarannya.

Oleh demikian, ia bukan sesuatu yang mengejutkan apabila jenama ini ingin melebarkan sayapnya di luar negara China khususnya beberapa negara di Asia dan juga Eropah. Di Perancis, syarikat ini telah mengeluarkan enam model yang boleh dipilih dan yang terbaru adalah sebuah skuter gaya retro dengan ciri-ciri yang mengujakan.

Kali pertama melihatnya, pasti ramai mengaitkan ia dengan penampilan skuter yang sangat popular iaitu Vespa. Namun begitu, ia masih mempunyai beberapa perbezaan yang jelas. Apa yang boleh dikatakan, LVNENG S6 ini menyasarkan pasaran yang dipenuhi oleh Vespa khususnya golongan yang merasakan harga skuter Elettrica sangat mahal.

Walaupun ia dikategorikan sebagai sebuah skuter premium dan tidaklah murah, tetapi S6 ini jauh lebih murah berbanding harga skuter elektrik Vespa. Selain itu, gaya retro LVNENG S6 menyempurnakan lagi ciri-ciri sofistikated yang ada pada skuter ini yang semestinya menjadi rebutan di pasaran kelak.

Antara yang dilengkapi ke atas skuter ini termasuk sistem lampu LED penuh, pod instrumen digital, slot pengecasan USB dan juga pemula tanpa kunci serta immobilizer. Ditambah pula dengan pelana dengan kulit yang dijahit kemas, ada kelasnya yang tersendiri.

Bagi menguasakan skuter ini, sebuah motor elektrik diletakkan di bahagian roda belakang yang sumbernya datang dari Bosch. S6 menghasilkan kuasa tertinggi pada 4 kW. Menurut LVNENG, S6 mampu mendaki bukit sehingga 30% kecerunan walaupun dengan pembonceng di belakang. Kelajuan tertingginya pada 47 batu per jam, sangat sesuai digunakan di dalam bandar. Dua pek bateri LG digunakan untuk menguasakan motor elektrik yang menjanjikan jarak sehingga 120 km.

Sumber : Rideapart