Sarat Dengan Pengisian Bermakna, Erat Persaudaraan & Semarak Jiwa Merdeka

Himpunan Jaguh 4 Penjuru Volume 3 tahun ini memilih Perak sebagai tuan rumah dengan lokasi bertempat di Kem Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor. Acara yang berlangsung dari Jumaat, 29 Ogos hingga Ahad, 31 Ogos ini menghimpunkan para pemilik Modenas Jaguh 175 daripada empat negeri iaitu Kedah, Kelantan, Perak dan Johor ini bukan sahaja mengangkat nilai silaturahim tetapi juga kecintaan terhadap tanah air.

Program ini diangkat sebagai acara tahunan dengan giliran tuan rumah yang berganti antara empat negeri tadi. Pada tahun ini, Perak menjadi tuan rumah dan bakal diikuti Johor pada edisi seterusnya tahun hadapan. Sebelum ini, program ini telah berlangsung dengan jayanya di Kedah dan disusuli Kelantan, sekali gus mengukuhkan semangat persaudaraan dalam kalangan komuniti Jaguh.

Sebagaimana edisi-edisi terdahulu, program ini juga berperanan sebagai agensi pelancongan dengan membawa para peserta mengenali tarikan setempat. Keistimewaan edisi di Perak ini adalah lawatan ke Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungkai, yang menempatkan hidupan liar termasuk harimau sakit atau cedera akibat jerat. Selain itu, program ini juga meneruskan tradisi menziarahi maahad tahfiz berhampiran, meluangkan masa bersama anak-anak ini.

Dari segi penyertaan, hampir 200 buah motosikal Modenas Jaguh 175 berkumpul di Perak tahun ini, termasuk penyertaan tuan rumah. Majoriti motosikal ini dimiliki oleh “otai” dunia permotoran. Mereka yang menjadikan Jaguh sebagai simbol gaya santai dan bukannya kelajuan semata-mata. Keunikan ride Jaguh adalah pada rentaknya yang tenang. Ada masa untuk tunggang, ada masa untuk berhenti dan menikmati pemandangan. Bukan sekadar perjalanan tetapi pengalaman.

Malam Ambang Merdeka yang berlangsung pada 30 Ogos menjadi wadah kebersamaan, apabila penyertaannya dibuka kepada masyarakat setempat. Suasana bertambah meriah dengan gerai jualan ala pasar malam, sebelum diteruskan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah termasuk sebuah motosikal Honda RS150 sebagai hadiah utama. Kehadiran sahabat permotoran dari Tapah, Bidor dan Sungkai menjadikan program ini penuh makna dan semangat merdeka.

Program Malam Ambang Merdeka ini bukan hanya sekadar hiburan, malah diisi dengan pengisian berunsur patriotisme. Persembahan sajak kemerdekaan, ceramah Bicara Merdeka, serta persembahan muzik daripada band PGA Bidor menjadikan acara ini penuh warna dan semangat. Saat menjelang detik 12 malam, laungan “Merdeka” menggema bersama kibaran Jalur Gemilang, menyatukan semua yang hadir dalam suasana penuh bangga.

Bagi peserta Himpunan Jaguh 4 Penjuru, pengalaman ini lebih daripada sekadar berkumpul dan menunggang bersama. Ia adalah ruang untuk berehat dari hiruk-pikuk kehidupan, kembali menghargai perjalanan santai di atas Jaguh sambil menjalin persahabatan baharu. Aktiviti seperti ini membuktikan bahawa komuniti permotoran juga mampu menjadi agen penyatuan dan duta kecil dalam mempromosikan destinasi menarik di negeri tuan rumah.

Dengan setiap edisi, Himpunan Jaguh 4 Penjuru terus melakar sejarahnya sendiri. Bermula dengan Kedah, kemudian Kelantan, kini Perak, dan bakal diteruskan di Johor tahun depan. Apa yang kekal ialah semangat setiakawan, kecintaan pada hobi, serta tanggungjawab sosial yang dipikul bersama.

Himpunan ini akhirnya menegaskan satu perkara penting: motosikal bukan sekadar mesin, tetapi jambatan yang menghubungkan manusia. Sama ada di jalan raya atau di ruang komuniti, Jaguh tetap menjadi simbol santai, bersahaja, dan penuh makna.