Hampir 700 buah motosikal berkuasa tinggi telah menyertai acara sambutan Ulang Tahun ke-9 V-Rider MC. Ditubuhkan pada 10 Oktober 2010, VRMC merupakan sebuah kelab permotoran yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Sambutan kali ini diadakan di Kampongstay Hj Sulaiman yang terletak di Rantau, Negeri Sembilan pada Oktober yang lalu bermula dari pukul 8.00 malam sehingga pukul 1.00 pagi. Sebelum berlangsungnya majlis jamuan ulang tahun, terlebih dahulu telah diadakan Mesyuarat Agung Tahunan pemilihan Ahli Majli Tertinggi yang baru pada sebelah siangnya.
Di sebelah malamnya, progam diteruskan dengan acara kemuncak iaitu jamuan makan malam ulang tahun yang turut dimeriahkan 60 buah kelab motosikal dari seluruh Malaysia. Diketuai oleh presiden, Mohd Zin Bin Bador, acara bertambah rancak dengan kehadiran artis-artis jemputan serta persembahan live band.
Sebelum mengakhiri majlis makan malam ini, acara bertambah menarik dengan berlangsungnya majlis pertukaran plak di antara kelab-kelab yang hadir dengan VRMC. Setelah selesai majlis makan malam, para peserta berehat dulu dan menyertai acara Family Day VRMC dan acara sukaneka pada keesokan harinya.