Sambutan Memberangsangkan, Memeriahkan Lagi Sukan Motorcross Malaysia

Bertempat di Track Motorcross Bandar Tun Razak Felda Keratong, di Pahang telah berlangsungnya Keratong Track Day anjuran Fattah Motorsport. Ditubuhkan oleh saudara Abdul Fatah Bin Ahmad sekitar tahun 2020, Fattah Motorsport ini tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak, malah tiada penglibatan pihak Felda dalam penganjuran serta pengurusan litar.

Lazimnya, acara motorcross dianjurkan sebanyak 3 atau 4 kali setahun dan perlumbaan pertama yang diadakan adalah pada tahun 2019 iaitu Merdeka Race. Bagi penganjuran Keratong Track Day kali ini, program berlangsung selama dua hari dan menerima sambutan yang amat memberangsangkan bukan sahaja dari para peserta tempatan malah dari luar negara juga.

Seramai 570 peserta telah menyertai program ini termasuk para peserta dari Indonesia, Singapura dan juga Thailand. Sebanyak 18 kategori telah dipertandingkan sepanjang Keratong Track Day ini dijalankan. Kategori-kategori yang dipertandingkan adalah seperti berikut;
– MX Open
– MX Novice A
– MX Novice B
– MX25/MX Women
– MX Veteran 45
– MX 35
– MX Special Open
– MX Junior 85cc
– MX Kadet 65cc
– MX Kadet 50cc
– CKD Open MX
– CKD Open Women MX
– Cubcross CC 1
– Cubcross CC 2
– Cubcross CC 3
– MX Trail Enduro Open
– CKD Open Endurance
– Cub Cross Open Endurance

Jika dilihat, pihak penganjur menyediakan kategori yang merangkumi pelbagai peringkat umur termasuk dari golongan kanak-kanak, wanita, junior dan juga veteran. Lebih membanggakan, sambutan dari para peserta wanita juga sangat menggalakkan. Walaupun sukan motorcross ini lasak tetapi tiada halangan untuk kaum hawa untuk menyertai dan menyahut cabaran ini.

 

Setinggi-tinggi ucapan tahniah serta terima kasih kepada pihak KTM Malaysia kerana sudi memberikan kerjasama dalam memastikan penganjuran program kali ini berjalan dengan lancar. Tidak lupa juga kepada pihak Koyoko yang turut menaja. Acara berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada pada pemenang oleh CEO Fattah Motorsport, wakil KTM Malaysia iaitu saudara Amir dan juga bekas ADUN Ibam Shamsiah Bt Arshad.