Sambutan Luar Dugaan Untuk Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2022 Round 5

Sebelum berlangsungnya acara yang membuatkan Ipoh menjerit, ada dalam kalangan netizen mengatakan MUSC Drag Racing sukan rakyat marhaen yang ‘low class’ ekoran tiada promosi. Malah ada yang mengatakan, ia tidak akan mendapat sambutan seperti acara-acara permotoran lain. Jelas sekali ia hanyalah kata-kata negatif kerana penganjuran Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2022 pusingan kelima ini benar-benar mendapat sambutan di luar dugaan.

Diadakan di Bandar Meru Raya di Ipoh sempena sambutan Perak Drag Racing Jamboree 2022, acara yang dianjurkan MUSC Motorsports dengan kerjasama Armada Brotherhood (A’Bro) dan Kinta Motorsports yang disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan. Acara ini turut dijayakan dengan barisan penaja seperti Wemoto, Timsun, QHUK dan banyak lagi.

Berlangsung selama dua hari, acara ini menyaksikan cubaan-cubaan menarik untuk memecah serta mencipta rekod baharu. Lebih menarik lagi apabila ia turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran barisan selebriti yang memberikan sokongan terhadap penganjuran sukan ini seperti Achey dan Ali Puteh. Tidak lupa juga, segmen cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan termasuk sebuah motosikal Yamaha Y15ZR, telefon pintar iPhone 13 dan juga helmet berjenama terkenal.

Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur, para penaja, rider yang berjuang habis-habisan dan tidak lupa juga para pengunjung yang membanjiri kawasan tapak acara. Diharapkan para rider dan team bersedia untuk acara seterusnya BOTK2022 Battle Of The Kings 2022 Grand Finale yang bakal menembak di Terengganu International Drag Strip pada 12 hingga 16 Oktober ini. Jangan lupa!