Sambutan Luar Biasa, Bakal Diadakan Lagi Tahun-tahun Hadapan

Bagi melabuhkan tirai tahun 2023, Kawasaki Malaysia telah menganjurkan Kawasaki Weekend Year End Ride 2023. Dianjurkan buat julung kalinya untuk Zon Utara, sebanyak 50 buah motosikal berkuasa tinggi Kawasaki telah berjaya dikumpulkan. Sebelum ini, program yang sama pernah diadakan untuk Zon Barat dan Zon Selatan tanah air.

Pelbagai kelab serta pemilik motosikal Kawasaki pelbagai cc turut menyertai program ini antaranya kelab Northern Versys Owners Group (NVOG & Friends) yang tidak mahu ketinggalan. Ride kali ini lebih dikenali dengan nama “Ride Lambat Tinggal” di mana ia lebih santai dan mengikut kelajuan masing-masing.

Perjalanan bermula dari Guan How Superbike Juru menuju ke Anjung Keli, Kangar di Perlis. Pihak Guan How menyediakan sarapan pagi kepada semua peserta yang hadir. Acara taklimat pula dikendalikan oleh saudara Iqbal dari Kawasaki Malaysia. Sesi pelepasan para peserta telah disempurnakan oleh Bos Guan How yang berlangsung di perkarangan kedai miliknya.

Seterusnya, para peserta konvoi menyusuri Lebuhraya Utara Selatan dari Juru sehingga R&R Gurun, Kedah untuk “Regroup” kali pertama bagi mengisi minyak. Perjalanan diteruskan sehingga ke Caltex di Changlun di Kedah untuk “Regroup” kali ke-2. Perjalanan agak lancar walaupun terdapat banyak kenderaan di atas lebuh raya sempena cuti tahun baru.

Para peserta konvoi menunggang dengan berhemah serta berhat-hati mengikut had laju kebangsaan yang ditetapkan. Konvoi meneruskan perjalanan ke Perlis dan tiba di Kedai Anjung Keli, Kangar Perlis tepat jam 12.30 tengah hari. Para peserta disambut serta disediakan tempat khas yang ditempah dengan hidangan makan tengah hari yang cukup lazat seperti ikan keli goreng, gulai ikan, sambal tumis udang dan somtam mangga dengan nasi panas termasuk buah-buahan seperti tembikai sebagai pencuci mulut.

Kesemua peserta menjamu selera sambil beramah mesra antara satu sama lain. Selepas itu, para peserta merakam kenangan dengan bergambar beramai-ramai. Encik Iqbal menyatakan ingin mengadakan Kawasaki Ride seperti ini lagi di sebelah utara ekoran sambutan sungguh menggalakkan dari semua peserta yang hadir.

Sebagai sesi penutup, pihak NVOG menyerahkan cenderamata berupa plak NVOG kepada wakil Kawasaki Malaysia sebagai penghargaan dan kenangan-kenangan kerana sudi menjemput kelab NVOG & Friends untuk menyertai program ini.

Semua peserta bertolak kedestinasi masing-masing dan ride ini mencapai objektif dengan kehadiran pelbagai kelab dan cc motosikal berkuasa tinggi berjenama Kawasaki sekaligus menyemarakkan ukhuwah dalam kalangan peserta memandangan terdapat pelbagai bangsa dan peringkat umur.

Terima kasih sekali lagi khas buat Kawasaki Malaysia kerana sudi menganjurkan ride penutup tahun 2023 di sebelah Utara Tanah Air Semenanjung Malaysia.