ROSE Riders Mencipta Kenangan Di Teluk Intan

Bukan semua boleh memahami kepuasan dan juga keseronokan memiliki apatah lagi menunggang motosikal. Lebih seronok lagi, apabila dapat berkongsi minat yang sama dengan rakan-rakan yang mencintai dunia permotoran dua roda itu. Persamaan itu juga yang mendorong beberapa pemilik dan peminat motosikal membentuk sebuah kelab agar dapat menjalankan aktiviti dengan lebih teratur.

Salah satu kelab yang tidak pernah sunyi dengan penganjuran pelbagai program dan aktiviti, ROSE Riders yang dinaungi Bro Jass. Antara siri program yang dianjurkan ialah Support Each Others yang melibatkan penyertaan ahli-ahli kelabnya. Program ini diadakan di beberapa lokasi terpilih, salah satunya di sekitar Teluk Intan yang berlangsung pada 3 September lalu. Disertai oleh 35 orang ahli kelab, program ini dimulakan dari pukul 10.00 pagi dan tamat sekitar pukul 4.00 petang.

Bagi makluman, tujuan utama Support Each Others II ini dianjurkan adalah untuk mendidik ahli-ahli yang juga penunggang motosikal menerusi pengertian undang-undang jalan raya. Para peserta telah diberikan taklimat khas oleh pegawai dari Akademi Gabungan Sekolah Memandu Hilir Perak oleh En. Basri Bima selaku penceramah serta En. Rosman Sani Tasmon selaku penyelaras sekolah memandu.

Kesempatan ini juga digunakan sepenuhnya oleh ROSE Riders untuk menyerahkan pemberian infak ke Rumah Titian Asraful Teluk Intan. Sebelum menamatkan program pada hari tersebut, para peserta mengambil peluang ini melawat beberapa lokasi menarik sekitar Teluk Intan. Tidak ketinggalan, bergambar kenangan di mercu tandanya iaitu Menara Jam Condong Teluk Intan.