Rider Dengan Minat Dan Semangat Tanpa Sempadan

Bagi peminat motosikal berkuasa tinggi, nama Mohd. Zulkifli Kadir mungkin tak berapa dikenali tapi sebut saja Zul Olen, rasanya ramai yang kenal. Mekanik kepada bengkel motosikal berkuasa tinggi yang terletak di Jalan Raja Chulan (di bawah bayangan Menara Kuala Lumpur), Zul Olen boleh dikategorikan sebagai seorang rider sejati.

Berasal dari Marang, Terengganu, sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata. Bagaimanapun, cinta pertamanya ialah motosikal. Sejak berusia 12 tahun, beliau telah berkecimpung di dalam hobi bermotosikal berkuasa tinggi. Motosikal pertama yang dimilikinya ialah sebuah Modenas Jaguh yang mungkin tidak dikategorikan sebagai berkuasa tinggi, namun ia merupakan satu permulaan yang baik bagi seseorang yang mahu belajar selok belok mengendalikan sebuah motosikal berenjin agak besar.

Dari situ, Zul tak lagi menoleh ke belakang apabila beliau membeli pula motosikal Naza Blade 250cc yang juga motosikal terakhirnya untuk kategori lesen B2. Berbekalkan lesen B penuh, Zul kemudiannya menaik-taraf motosikalnya dengan satu lagi produk Naza, kali ini Naza Blade 650cc yang menaikkan taraf Zul kepada seorang pemilik superbike yang sebenar. Jadi bagi sesiapa yang baru mengenali Zul, dari sinilah timbulnya kemahirannya membaiki motosikal buatan Naza.

Selepas puas bermain dengan motosikal Naza, Zul beralih arah kepada motosikal buatan Jepun. Motosikal Jepun pertamanya ialah Honda CBR 600cc, sebuah motosikal jenis sports yang tak boleh dinafikan kehebatannya. Kemudian, cinta Zul beralih arah kepada sebuah lagi jentera Honda, iaitu Honda VFR 800. Honda VFR ini ialah motosikal pertama Zul dari jenis sports touring selepas bertahun-tahun menunggang motosikal jenis sports. Mungkin benar kata orang, perubahan umur pada wanita dilihat dari kedut di wajahnya, perubahan umur lelaki dillihat pada jenis motosikal yang ditunggangnya.

Dengan menggunakan motosikal jenis sports tourer, Zul telah berjinak-jinak menyertai konvoi-konvoi amal di seluruh pelusuk tanah air dan memberikan khidmat marshall kepada konvoi supercar tempatan. Dedikasinya kepada minat ini membuatkan Zul dilantik menjadi Timbalan Presiden Kelab Marshall Motorsport. Selain daripada aktiviti berkonvoi, Zul juga sering menyertai mana-mana acara ‘Bike Week” di seluruh tanah air.

Berbalik semula kepada motosikal yang digunakan oleh Zul, selepas diperkenalkan dengan motosikal konsep sports tourer, Zul tidak lagi memandang ke belakang dan seterusnya menaik-taraf motosikalnya kepada motosikal Yamaha FJR1300 yang sememangnya antara motosikal sports tourer terbaik di pasaran. Terkini, FJR1300 sudah diganti dengan jentera Kawasaki 1400GTR yang kini cukup popular di kalangan peminat motosikal jenis sports tourer tempatan. Dengan jentera barunya ini, Zul juga dah menyertai Kelab Standman GTR yang mengumpulkan pengguna GTR seluruh negara.

Ditanya mengenai impian dan cita-citanya di masa hadapan, Zul menyimpan hasrat untuk membuka bengkel motosikal berkuasa tinggi milik sendiri pada masa hadapan. Kami mendoakan agak cita-cita Zul tercapai!