Kerap dan aktif menganjurkan pelbagai aktiviti ride atau konvoi pada setiap tahun, Group BMW S1K @ S1000RR HP4 Malaysia kembali menganjurkan ride vol.1/2023 yang berlangsung selama dua hari iaitu 4 dan 5 Februari lalu.
Sebagaimana kebiasaannya, ride atau konvoi yang menghimpunkan para pemilik BMW S1K seluruh Malaysia ini diadakan dua atau tiga kali setiap tahun. Destinasi yang menjadi lokasi pertama untuk tahun 2023 ini pula ialah Pantai Merdeka yang terletak di negeri Kedah.
Para peserta dari bahagian Selatan, Tengah, Pantai Timur serta Utara berkumpul di stesen petrol BHP Sungai Dua dan menjamu selera jamuan ringan yang disediakan oleh pemilik BHP iaitu Datuk Arip. Para peserta amat berterima kasih di atas layanan baik Datuk Arip.
Lebih kurang pukul 12.30 tengah hari, para peserta dari Pantai Timur dan bahagian Tengah selamat tiba di BHP serta bergabung dengan para peserta dari Utara. Sebanyak 150 buah motosikal dari seluruh Malaysia terlibat dalam aktiviti ride kali pertama untuk tahun 2023 ini.
Selepas selesai menikmati jamuan ringan, para peserta mula bergerak ke Sungai Petani untuk menjamu selera di Garden Station. Perjalanan diteruskan selepas menjamu selera dan selesai mendirikan solat zuhur. Para peserta bergerak ke Jambatan Merdeka dan mercu tanda di sempadan Pulau Pinang juga Kedah iaitu mesin padi atau jentera menuai yang sangat sinonim dengan negeri Kedah sebagai jelapang padi.
Kira-kira pukul 3.30 petang, para peserta selamat tiba di tempat penginapan di Merdeka Beach Resort, Pantai Merdeka. Selepas selesai mendaftar masuk, para peserta mengambil peluang ini untuk merehatkan badan dan juga jentera masing-masing.
Kemudian, para peserta menyambung semula aturcara dengan bergerak ke Dataran Tsunami di Kuala Muda sekitar pukul 6.00 petang untuk sesi bergambar. Di sini, para peserta dapat melihat satu mercu yang dibina bagi memperingati Tsunami yang melanda Kuala Muda satu ketika dahulu. Bukan itu sahaja, para peserta juga sempat menjamu selera di gerai-gerai yang ada di situ.
Pada sebelah malamnya pula, aturcara diteruskan lagi dengan majlis makan malam di Merdeka Beach Resort yang bermula pada pukul 8.00 malam sehingga 11.00 malam. Pelbagai acara menarik disusun bagi memeriahkan lagi majlis makan malam ini termasuk hidangan kambing golek, Karaoke, Cabutan Bertuah dan Carpet Group.
Pada keesokan harinya, para peserta bergerak pulang ke tempat masing-masing sekitar pukul 10.00 pagi sebaik sahaja selesai sesi bergambar beramai-ramai sebagai kenangan ride Group BMW S1K Malaysia Vol.1/2023. Semoga berjumpa lagi untuk ride kedua yang bakal dirancang nanti.