Riang Ria Sepanjang Himpunan Motosikal Honda EX5

Dianggarkan lebih kurang 20 ribu motosikal Honda EX5 telah membanjiri Stadium Litar Permotoran di Gong Badak yang terletak di Terengganu sempena Perhimpunan Motosikal Honda EX5 Gong Badak 3.0. Diadakan pada 21 Oktober lalu, program ini berjaya menarik penyertaan para pemilik Honda EX5 yang datang dari seluruh Malaysia.

Bagi makluman, perhimpunan ini telah menerima tajaan FKR sebagai penaja utama yang turut menyediakan pelbagai hadiah dalam segmen Cabutan Bertuah kepada para pengunjung yang memeriahkan lagi program ini. Selain itu, pihak penganjur turut mengambil kesempatan ini menganjurkan kutipan derma kepada rakyat Palestine yang sedang berhadapan dengan peperangan. Dianggarkan sejumlah RM1500 telah dikutip serta disalurkan kepada pihak berkaitan.

Program ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran saudara Ahmad Hambari dari Team EX Official, Pengurus Pemasaran FKR Marketing iaitu saudara Cheah Ban Foo dan ketua-ketua kelab EX5 yang lain. Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur kerana sekali lagi berjaya menganjurkan program dan menghimpunkan pemilik-pemilik Honda EX5 dalam satu program yang penuh keriangan.