Seperti kebiasaannya, setiap tahun Retromania Grand Gathering diadakan di Dataran Pantai Morib dan tahun ini merupakan penganjuran kali ke-7. Hampir setahun pihak penganjur merancang dan melaksanakan Retromania Grand Gathering 2019 hingga berjaya mencipta sejarah apabila segala usaha membuahkan hasil dengan kehadiran peserta dan pengunjung yang hampir mencecah 30,000 orang.
Acara ini juga mencipta sejarah dan tersenarai dalam Malaysia Book Of Records setelah berjaya menghimpunkan motosikal Scrambler Retro dari era 70-an hingga 90-an terbanyak berjumlah 343 buah motosikal. Sekalung tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung daripada krew majalah RoadStar di atas kejayaan yang dicatatkan Retromania kali ini.
Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyenaraikan program himpunan peminat motosikal besar-besaran ini dalam kelendar acara pelancongan negara. Acara ini merupakan platform terbaik bagi memperkenalkannya sebagai acara tarikan tahunan di Kuala Langat dan Selangor khususnya. Penganjur juga berjaya menarik pernyertaan antarabangsa termasuk Thailand, Indonesia, Brunei dan United Kingdom menjadikan acara itu berpontensi untuk terus dilaksanakan.
Turut hadir memeriahkan lagi penganjuran Retromania kali ini termasuk Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Morib, YB Hasnul Baharudin. Selain itu, kehadiran pelakon Gila-Gila Remaja iaitu Faizal Hussein, Rehana Yassin, Kamarol Yusoff dan lain-lain menghangatkan lagi suasana dan bertepatan dengan tema kali ini, Gila-Gila Zaman Remaja.
Pelbagai acara dan aktiviti yang berlangsung selama 2 hari iaitu pada 13 dan 14 April lalu, antaranya seperti Motorshow (motor terlambat, motor undur, tolak motor dan lain-lain lagi), latihan tunggangan berhemah (MKJR Selangor), sukaneka, sembang santai mat moto, bacaan tahlil dan doa, sembang Maghrib dengan Ustaz Akhil Hayy, Persembahan Busker, Penyampaian cenderahati dan pemenang serta pelbagai jualan makanan dan jualan barangan motosikal.
Kami krew majalah RoadStar merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur Retromania terutamanya Abang MamatKapar Syj yang bersusah payah dan bekerja keras untuk menjayakan setiap kali penganjuran Retromania. Beliau juga memastikan semua yang dirancangkan berjalan dengan lancar.
Teks dan gambar oleh : Paksu Shidee