Kejayaan penganjuran kali pertama yang diadakan pada tahun 2018 mendorong penganjur untuk kembali dan menganjurkan program Retro Street 2.0. Diadakan pada 25 Ogos lalu, lokasi penganjuran program ini telah diubah ke RTC Gopeng Perak atas faktor kedudukan lebih selesa selain segala kemudahan asas yang tersedia di sini termasuk tandas, surau dan gerai-gerai makan.
Kehadiran kali ini cukup luar biasa dengan menyaksikan kehadiran para peserta dan pengunjung bukan sahaja dari negeri Perak, malah dimeriahkan dengan penyertaan peminat dua roda terutamanya motor retro dari negeri Kedah, Perlis, Johor dan tidak kurang juga dari pantai timur dan Lembah Klang.
Dianggarkan lebih 1500 buah motosikal retro berjaya dihimpunkan yang terdiri dari pelbagai jenis dan jenama. Corak susunan kali ini pula, lebih menarik kerana disusun dalam bentuk ‘V’ terutamanya untuk sesi penggambaran. Tambahan pula, lokasi berhampiran lebuh raya dan berbumbung menarik minat rakan-rakan retro untuk hadir dalam program yang lebih santai.
Selain himpunan motosikal retro, pihak penganjur turut mengadakan acara sampingan seperti Motorshow. Sebanyak 120 buah motor telah dipertandingkan untuk merebut lebih 30 hadiah yang disediakan khususnya pilihan The Best. Penganjuran kali kedua ini juga berjaya mengulangi kemeriahan dan kehebatan penganjuran kali pertamanya pada tahun lalu, malah lebih meriah lagi. Tahniah diucapkan kepada para penganjur dan diharapkan program ini akan diadakan setiap tahun sebagai acara tahunan.
Perkongsian : Fuad Ipoh