Pemegang grip motosikal yang direka oleh syarikat tempatan RCB bukan sahaja digunakan dalam Kejuaraan MotoGP Dunia malah produk dari MKA iaitu Syarikat automotif Malaysia yang terkenal di peringkat global itu turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.
Pengiktirafan yang diberikan adalah susulan kejayaan model RCB Nagamaki Handle Grip telah dipergunakan secara meluas dalam perlumbaan motosikal Grand Prix termasuk para pelumba dalam kategori MotoGP, Moto2 dan Moto3, sekali gus membuktikan produk tempatan telah mendapat kebolehpercayaan di pentas tertinggi sukan permotoran antarabangsa.
Untuk info, Nagamaki Handle Grip direka dan dibangunkan sepenuhnya di Malaysia oleh pasukan penyelidik dan Pembangunan (R&D) MKA Group penghujung Disember 2022 dengan penekanan khusus terhadap aspek ergonomic, kawalan serta prestasi pelumba dalam keadaan ekstrem.
Rekaan Nagamaki Handle Grip tercetus dari evolusi pemegang pedang katana dan juga teknik lilitan tsukamaki tradisional dari Jepun. Ia menampilkan corak struktur seperti anyaman yang unik manakala rekaan itu meningkatkan keselesaan, kestabilan dan kawalan ketika pelumba atau penunggang beraksi di atas perlumbaan atau jalan raya.
Tidak sekadar itu, rekaan tersebut turut membantu mengurangkan getaran, meminimumkan keletihan dan kebas pada bahagian tangan. Nagamaki Handle Grip juga turut meningkatkan maklum balas sentuhan serta memberikan kestabilan cengkaman yang lebih baik tatkala anda menunggang dalam keadaan kelajuan tinggi.
Keupayaan produk RCB ini turut dibuktikan melalui penggunaannya dalam perlumbaan MotoGP sekali gus mengesahkan keberkesanan dan ketahanannya dalam persekitaran perlumbaan motosikal paling kompetitif di dunia.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa produk RCB yang direka dan dibangunkan oleh anak tempatan mampu bersaing di pentas MotoGP bersaing dengan produk terbaik dari serata dunia.
“Pencapaian (Malaysia Book of Records) ini, mencerminkan komitmen berterusan MKA Group dan produk RCB dalam pentas MotoGP sejak 2013, terhadap kualiti, prestasi dan inovasi di masa akan datang,” ujar Bruce Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MKA Group.