Rebut Peluang Untuk Bawa Pulang Motor Yamaha Y15ZR Atau Honda RS-X 2022!

Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix musim ini bakal melabuhkan tirai di Litar Sepang pada 18 dan 19 Disember ini. Pasti para peminat tidak sabar untuk melihat dan mengetahui juara untuk kesemua tujuh kategori perlumbaan. Bagi meraikan pusingan penentuan ini, kehadiran para penonton sangat dialu-alukan.

Menurut pengarah Safe Aim Mutual Sdn. Bhd, Ron Hogg, “para penonton tidak perlu membeli sebarang tiket. Syaratnya hanya lah, semua penonton telah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19. Di samping itu, kami turut menganjurkan pertandingan di mana para penonton berpeluang untuk memenangi sama ada sebuah motosikal Yamaha Y15ZR ataupun sebuah motosikal Honda RS-X 2022.

Sebagaimana yang diketahui, buruan bergelar juara kategori perdana CP150 masih lagi terbuka luas dan kelima-lima pelumba mempunyai peluang untuk membawa pulang piala kejohanan. Buat waktu ini, Azroy Hakeem Anuar yang juga pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu mendahului dengan mata 125 mata. Namun, para pelumba lain seperti Ahmad Afif Amran, Mohd Akid Aziz, Kasma Daniel Kasmayudin dan Nazirul Izzat Bahauddin masih mempunyai peluang untuk mengejar.

Dalam kategori CP125 pula, Mohd Adib Rosli dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team perlu menamatkan kedua perlumbaan Pusingan 9 dan Pusingan 10 di kalangan 10 pelumba teratas. Ini diikuti kategori Wira KBS yang pernah didominasi pelumba dari pasukan 31 Racing dan kini mempunyai saingan rapat dari Irfan Haykal dan Harith Haziq.

Oleh itu, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing perlu mengerahkan strategi berkelompok untuk memastikan Mohd Aqil Danial Nasrul mencapai hasratnya untuk bergelar Juara Wira KBS musim 2021.