Rangkul Kemenangan Keenam Berturut-Turut Di ARRC Jepun 2026

Pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah daripada JDT RACING TEAM, meneruskan rentak kecemerlangan luar biasa dalam kategori ASB1000 selepas mempamerkan aksi bertenaga tanpa sebarang kesilapan untuk merangkul kemenangan keenam berturut-turut. Kejayaan bermakna itu dilakar pada Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) 2026 yang berlangsung di Mobility Resort Motegi, Jepun. Dominasi mutlak ini sekali gus membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri sepanjang saingan musim ini.

Memulakan perlumbaan dari petak hadapan, Hafizh segera memimpin kelompok hadapan dengan mengekang asakan awal daripada Nakarin Atiratphuvapat, Keito Abe, dan seorang lagi pelumba negara, Muhammad Zaqhwan Zaidi daripada IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA. Memasuki pusingan kedua, Hafizh mula memecut laju dengan mencatatkan masa pusingan terpantas 1’55.376s serta mencecah kelajuan tertinggi 282.72 km/j. Malangnya, nasib tidak menyebelahi Zaqhwan apabila beliau terjatuh ketika berada di kedudukan keempat. Walaupun mampu meneruskan perlumbaan, insiden itu menyebabkannya tercicir ke kelompok belakang.

Sejurus selepas itu, tumpuan beralih kepada keupayaan luar biasa Hafizh yang mula meninggalkan terus pesaing-pesaingnya jauh di belakang. Dengan konsisten mengekalkan catatan masa dalam lingkungan 1’49s, beliau berjaya melebarkan jurang masa daripada 1.515s pada pusingan kelima kepada lebih lima saat pada fasa akhir perlumbaan. Penguasaan mutlak jentera JDT RACING TEAM ini semakin terserlah apabila Hafizh merekodkan masa terpantas keseluruhan perlumbaan pada pusingan kelapan dengan catatan 1’48.980s.

Di belakang pendahulu, persaingan sengit bagi perebutan kedudukan podium dan kelompok lima terbaik menjadi semakin rancak. Keito Abe dan Nakarin saling bertukar posisi beberapa kali sebelum pelumba Jepun itu berjaya mengambil alih tempat kedua pada pusingan keenam, manakala Shota Ite daripada AKENO SPEED.UMA RACING YAMAHA MAJUMOTOR ASIA TEAM dan Kohta Arakawa daripada Astemo Pro Honda SI Racing turut bersaing hebat untuk slot lima terbaik. Dalam masa yang sama, seorang lagi pelumba JDT RACING TEAM, Andi Farid Izdihar, mempamerkan kebangkitan bertenaga untuk memintas kelompok pelumba lain dan menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Menghampiri garisan pusingan terakhir, Hafizh melintasi bendera penamat dengan penuh bergaya tanpa sebarang ancaman dengan catatan masa keseluruhan 27’29.019s. Drama sebenar berlaku dalam perebutan tempat kedua apabila Keito Abe (SDG HARC-PRO. HONDA PHILIPPINES) berjaya menafikan asakan pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat (HONDA RACING THAILAND) dengan kelebihan tipis hanya 0.044s, manakala Nakarin terpaksa akur di tempat ketiga dengan masa 27’34.042s.

Menzahirkan rasa syukur, Hafizh menyatakan “Alhamdulillah” atas kemenangan ini dan mengakui bahawa kunci utama kejayaannya adalah kekal tenang serta fokus pada teknik membrek yang sedikit lewat bagi mempertahankan kedudukan. Beliau turut mendedikasikan kemenangan ini kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail atas kepercayaan yang diberikan, selain berterima kasih kepada keluarga, barisan penaja, ketua kru, serta seluruh pasukan yang bekerja keras sejak awal musim. Menurut beliau, pemahaman yang lebih baik terhadap tayar belakang serta jentera berbanding Perlumbaan 1 membolehkannya mengekalkan rentak konsisten setaraf sesi kelayakan sepanjang perlumbaan tersebut.

Top 3 Terpantas – ASB1000
1. Hafizh Syahrin Abdullah – JDT Racing Team (27’29.019s)
2. Keito Abe – SDG Harc-Pro. Honda Philippines (27’33.998s)
3. Nakarin Atiratphuvapat – Honda Racing Thailand (27’34.042s)