Projek Skuter Comel Yang Mampu Dimiliki Semua


Satu pencapaian istimewa apabila sesuatu jenama dengan rekaan ikon tersendiri dapat bekerjasama dengan LEGO dan terbaharu, skuter klasik era 1960an iaitu Vespa 125. LEGO dan Piaggio telah bergabung untuk menghasilkan kit Vespa 125 yang tampil sangat elegan. Namun, koleksi ini hanya untuk koleksi golongan 18 tahun dan ke atas.

Kit ini mengandungi sebanyak 1,106 bongkah Lego secara keseluruhan termasuk beberapa perincian lain yang menjadikan koleksi ini sangat menarik. Sebagai permulaan, warna biru langit dipilih mewarnai Vespa vintaj ini. Bagi peminat setia koleksi LEGO, warna pada Vespa ini pernah digunakan ke atas kit Fiat 500 yang dikeluarkan pada tahun lalu.

Apa yang ada dalam kit ini?

Terdapat stereng stem Technic yang mana boleh mencecah sehingga ke bawah dari pemegang bar, membolehkan anda memusingkan tayar hadapan ke kiri dan kanan. Sebagai tambahan, di bahagian kanan di bawah tempat duduk, anda boleh menarik keluar penutup enjin dan lihat enjin LEGO di bahagian dalamnya. Selain itu, ia juga memiliki tongkat motor tengah (center stand) seperti yang ada pada Vespa sebenar.

Ia juga mempunyai kickstart yang diletakkan di bawah penutup enji tetapi apa yang lebih menarik lagi adalah plat lesen yang didatangkan bersamanya bertarikh 23 April 1946, tarikh Vespa dari Piaggio yang pertama dipatenkan. Selain itu, kotak kargo kecil di bahagian belakang dan sejambak bunga tulip bersama topi keledar putih dengan tali pengikat warna perang dan cermin goggle. Pelana yang berasingan kelihatan sempurna dan melengkapi model LEGO ini dan sangat sesuai menjadi koleksi peminat tegarnya.

Bagaimana dengan harganya? Ia dijual pada $99.99 bersamaan RM419.06 dan ia berukuran 13.5 inci (panjang) serta 8.5 inci (tinggi). Kalau diletak atas meja, pasti berseri ruang tempat kerja. Betul tak?

Sumber : Rideapart