Program Pembuka Tahun Baharu

Tidak lama selepas tahun 2023 melabuhkan tirainya, tahun 2024 telah pun membuka lembaran baharu yang pastinya menjanjikan lebih banyak aktiviti menarik buat para pencinta dunia permotoran dua roda. Antara yang bersemangat membuka tahun 2024 dengan program permotoran ialah kelab permotoran Northern Versys Owners Group (NVOG & Friends).

Program kali ini melibatkan penjelajahan ke negeri Perak serta diselitkan aktiviti lain seperti memenuhi jemputan walimatulurus oleh rakan bikers yang terletak di Kg. Teloh Sareh, Batu Gajah. Hajat saudara Hamdan yang juga merupakan rakan bikers NVOG bersama isteri untuk meraikan pasangan mempelai akhirnya dimakbulkan. Konvoi ini meraikan pasangan pengantin Nuhazirah bersama pasangannya, En. Nurshahfiq yang disempurnakan oleh NVOG & Friends.

Diadakan pada 6 Januari lalu, program konvoi ini bermula dari Juru, Pulau Pinang di mana para peserta berkumpul seawal pukul 9.00 pagi sebelum singgah di Bukit Gantang, Perak untuk bersarapan. Setelah berehat seketika, para peserta konvoi meneruskan perjalanan ke Plaza tol Ipoh. Konvoi singgah sebentar di pekan Sri Iskandar untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke Kg Gajah, Perak.

Para peserta disambut oleh pasangan pengantin yang sedia menanti kehadiran para peserta yang melibatkan sebanyak 33 buah motosikal berkuasa tinggi yang hadir dalam ride awal tahun baharu 2024, menjelajah Perak kali ini. Suasana kenduri di Perak ini masih lagi meriah dengan masyarakat yang mengamalkan tradisi bergotong-royong untuk kenduri-kendara. Pelbagai juadah disajikan kepada tetamu yang hadir.

Orang ramai tidak putus-putus meraikan Raja Sehari, para riders yang hadir turut berasa gembira kerana Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi mendapat perhatian dan menjadi tarikan kepada orang ramai khususnya golongan kanak-kanak. Para peserta juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada kedua-dua pasangan pengantin dan berdoa agar kekal bahagia sehingga ke anak cucu.

Tidak ketinggalan, sesi bergambar bersama pasangan pengantin sebagai kenangan. Keletah pasangan pengantin bersama bikers menyerikan lagi majlis dengan gurau senda yang mencuit hati sekaligus menggamatkan mesra. Setelah menjamu selera, para peserta memohon diri untuk bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Sayong Kuala Kangsar.

Bagi makluman, perjalanan ke Kuala Kangsar dari Kg. Gajah mengambil masa selama 30 minit. Para peserta singgah di pekan kecil Parit untuk mengisi tekak yang haus. Perjalanan diteruskan menuju ke Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar untuk bersolat. Perjalanan diteruskan semula dan para peserta singgah di Dataran Lembah, Sungai Perak, Kuala Kedah untuk santai petang sebelum bertolak balik ke destinasi masing-masing.

Selain memeriahkan suasana dan majlis istimewa, aktiviti sempena tahun 2024 kali ini dapat mengeratkan hubungan sesama ahli. Ada juga yang tidak pernah bersua muka dan kesempatan ini diambil untuk berbual mesra. Tahniah NVOG kerana sekali lagi berjaya menghimpunkan golongan para pencinta dunia permotoran dua roda.