Tempoh pemberian lesen motosikal B2 secara percuma kepada golongan belia melalui Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) 2019 yang sepatutnya berakhir pada 31 Mei lepas dilanjutkan sehingga 31 Ogos ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lepas yang menyukarkan peserta mengikuti LMTS.
“Daripada 25,000 yang mendaftar untuk LMTS 2019, seramai 7,000 peserta masih gagal menghadirkan diri di institut latihan memandu yang telah ditetapkan dan belum menjalani sebarang latihan serta ujian yang sepatutnya.
“Kita menyeru kepada 7,000 peserta ini agar mengambil peluang ini sebaiknya kerana sejurus sahaja program ini tamat pada 31 Ogos nanti mereka tidak lagi layak menyertai mana-mana program kerana kita anggap mereka telah menolak peluang yang diberikan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Menurut Wan Sukairi LMTS 2020 akan bermula pada 1 Sept, melibatkan 15,000 peserta, dengan sedikit penambahbaikan termasuk peserta boleh memilih institut latihan memandu yang dikehendaki.
– BERNAMA