Program kempen keselamatan jalan raya anjuran Koyoko dengan kerjasama JPJ Negeri Sembilan ini berjalan dengan baik dan meriah sekali. Diadakan pada 11 Julai yang lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Abdul Manap Johol, seramai 470 orang pelajar menyertai program yang merupakan salah satu usaha untuk memberi kesedaran tentang keselamatan di jalan raya khususnya kepada para pelajar sekolah.
Dirasmikan oleh Penyelaras DUN Johol Tengku Yazid Bin Tengku Adzim, program ini turut dihadiri Hj Yahya Bin Zainol Abidin dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En. Rashid. Pelbagai aktiviti telah disediakan sepanjang program ini berlangsung termasuk sesi taklimat dari En. Mohd Rashidin Bin Ahmad wakil dari JPJ, En. C.P Khor wakil dari Koyoko dan juga Duta Koyoko, En. Hishamuddin Bin Md. Rashid.
Program diteruskan lagi dengan aktiviti lain seperti cabutan bertuah, sesi soal jawab bersama pelajar dan sesi bergambar. Dua orang pelajar telah terpilih untuk memakai sut perlumbaan seterusnya merakamkan kenangan bersama pelumba yang mewakili ONEXOX SAG Team dalam kategori Wira KBS, Mohd Norhakim Bin Mohd Hafizullah. Beliau yang masih belajar di SMK Datuk Undang Abdul Manap turut melakukan demo motosikal.
Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En. Rashid, program ini begitu cantik dan penuh pengisian ilmu, secara tak langsung dapat mengenali Mohd Norhakim cara lebih dekat. Bintang dan masa depan Hakim sebagai seorang pelajar akan menjadi contoh baik kepada semua pelajar SMK Datuk Undang Abdul Manap yang selama ini dikenali dengan isu panas Mat Rempit.