Platform untuk Memupuk Semangat Persahabatan dalam Kalangan Penunggang

Acara tahunan From Taiping With Love kembali lagi tahun ini dengan edisi kelapan, anjuran Rose Rider Entertainment. Berlangsung pada 20 Julai 2025 lalu, acara ini sekali lagi menghimpunkan pencinta dua roda daripada pelbagai kelab dan latar belakang, dengan satu tujuan utama mengeratkan silaturahim sambil menikmati keindahan panorama Bandar Warisan Taiping.

Peserta mula berkumpul pada pagi di Tol Kamunting sebelum memulakan hari dengan sarapan di D’Keruing Restaurant. Setelah selesai mengumpulkan tenaga, rombongan berkonvoi menuju ke beberapa lokasi ikonik Taiping seperti kaki Bukit Larut, kawasan Raintree di Taman Tasik Taiping, Dataran Taiping, Dataran Spritzer dan destinasi terakhir di Muzium Taiping. Perjalanan ini bukan sekadar tunggangan santai, tetapi juga memberi peluang peserta mengenali sejarah serta keunikan setiap lokasi yang dilawati.

Menariknya, acara ini tidak mengehadkan jenis motosikal. Pelbagai jenis jentera hadir, menjadikan suasana lebih meriah. Keunikan acara ini terletak pada konsepnya yang santai namun penuh makna, di mana peserta bukan sahaja dapat menikmati perjalanan, tetapi juga menimba ilmu tentang bandar yang terkenal dengan gelaran “Bandar Warisan”.

Cuaca yang redup dan keadaan trafik yang lancar sepanjang perjalanan menjadi rezeki buat semua yang terlibat. Para pengunjung di lokasi persinggahan juga dilihat begitu mesra dan menyambut baik kehadiran peserta konvoi, sekali gus menambah kemeriahan suasana. Ia menjadi antara momen paling diingati dalam edisi kali ini.

Bagi Bro Zass, pengasas Rose Riders, penganjuran From Taiping With Love bukan sekadar aktiviti konvoi, tetapi platform untuk memupuk semangat persahabatan dalam kalangan penunggang. Beliau menegaskan bahawa dalam hobi dan minat ini, nilai kekeluargaan dan saling menghormati sesama rakan penunggang adalah sesuatu yang perlu dipelihara.

Setiap tahun, acara ini menjadi titik pertemuan semula buat rakan-rakan lama dan ruang untuk mengenali ahli baharu. Tidak hairanlah, ia mendapat sambutan berterusan daripada komuniti dua roda, baik dari dalam mahupun luar Taiping. Harapannya, acara From Taiping With Love akan terus menjadi tradisi tahunan yang mengeratkan lagi hubungan antara penunggang motosikal di seluruh negara. Dengan semangat kekeluargaan dan minat yang sama, diharap ia akan terus berkembang dan memberi inspirasi kepada komuniti permotoran di Malaysia.