Perkongsian Bermanfaat Serta Memberi Motivasi Kepada Generasi Muda

Bertempat di SMK Ahmad Boestamam di Sitiawan telah berlangsungnya Karnival Keselamatan Jalan Raya Kadet JPJ Negeri Perak Tahun 2022 pada 6 Disember yang lalu. Program ini dianjurkan oleh JPJ Negeri Perak dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Manjung, JPJ Cawangan Seri Manjung dan juga KOYOKO.

Karnival ini dimulakan seawal pukul 8.30 pagi sehingga pukul 1.00 tengah hari serta melibatkan empat buah sekolah yang ada kelab Kadet JPJP. Sekolah-sekolah yang terlibat adalah SMK Ahmad Boestamam selaku tuan rumah, diikuti SMK Samudera, SMK Seri Manjung dan SMK Dato Seri Kamarudin.

Bagi makluman, program ini telah dirasmikan oleh Pengarah JPJ Negeri Perak, Tuan Mohammad Yusoff Bin Abustan. Program turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Tn. Ab Aziz Bin Awang Teh, Timbalan Pengarah JPJ Negeri Perak, diikuti wakil dari pihak Koyoko sebagai penaja iaitu Pengarah Pemasaran Koyoko iaitu En. CP Khor B, Pengarah urusan Koyoko, En. BH Teh dan juga Duta Koyoko iaitu Puan Nur Atikah Binti Azwar.

Selain itu, turut hadir memberi sokongan terhadap penganjuran program ini ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, En. Rosman Bin Yaacob, Pengetua SMK Ahmad Boestamam dan Ketua Cawangan JPJ Cawangan Seri Manjung, Puan Nor Intan Shapina Bt Morudin @ Md Isa.

Program kali ini dipadatkan serta dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk simulasi operasi JPJ yang diadakan dengan benar seolah-olah kejadian sebenar. Para pelajar juga berpeluang menaiki kereta ronda JPJ serta dapat menikmati sendiri pengalaman meronda di atas jalan raya sebenar. Malah, di kesempatan ini juga para pelajar menikmati menaiki motosikal rasmi JPJ.

Para pelajar juga didedahkan dengan cara-cara memilih bateri motosikal yang berkualiti serta berbaloi dalam segmen bersama Koyoko. Ciri-ciri keunikan bateri Koyoko serta ilmu asas juga dikongsikan kepada hadirin termasuk spesfikasi tayar motosikal dan kereta sangat penting dalam proses pembelian tayar. Bukan itu sahaja, para pelajar juga diberitahu tentang kepentingan Sijil Lesen Barangan SIRIM.

Program Karnival Keselamatan Jalan Raya ini tambah berseri dengan kehadiran Duta Koyoko iaitu Rider Helmet Pink atau nama sebenarnya Nur Atikah Azwar. Dikenali dengan gelaran Rider Helmet Pink, Nur Atikah atau lebih mesra dengan panggilan Ika juga merupakan pemilik pasukan lumba Wanita serta yang termuda dalam sejarah Petronas Cub Prix Championship.

Kehadiran Ika mendapat sambutan yang positif dalam kalangan para peserta. Tambahan pula, Ika bijak berinteraksi serta membuka peluang-peluang istimewa kepada para peserta. Selepas selesai sesi taklimat serta interaksi, mereka diberi peluang memakai pakaian lengkap perlumbaan serta duduk atas motosikal yang digunakan dalam perlumbaan yang kebetulan baru sahaja selesai digunakan di litar Batu Kawan, Pulau Pinang untuk Petronas Cub Prix pusingan kesepuluh.

Banyak pengalaman yang sempat dikongsikan Ika kepada para pelajar termasuk menasihati agar para peserta belajar bersungguh-sungguh kerana ilmu akademik sangat penting untuk semua bidang termasuk bidang sukan permotoran. Bagi makluman, Ika juga merupakan alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dengan Ijazah Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan.