Perkara Yang Perlu Dilakukan & Dielakkan

Menunggang motosikal memang memberikan kebebasan dan keseronokan yang tiada tandingan. Tanyalah para penggemar dua roda, jawapan yang anda jumpa pastinya sama. Apatah lagi apabila berpeluang mengikuti pengembaraan yang unik. Kepuasan yang sukar digambarkan atau diluahkan dalam kata-kata!

Namun begitu, ia juga datang dengan tanggungjawab yang besar. Bukan hanya memastikan keselamatan diri sendiri tetapi dalam masa yang sama, menghormati pengguna jalan raya yang lain termasuk pejalan kaki. Perkara yang sangat penting, demi menjaga kesejahteraan penunggang dan juga orang di sekeliling.

Di sini, Roadstar ingin berkongsi beberapa perkara yang sering terlepas pandang sebagai panduan tentang etika menunggang motosikal. Nampak remeh tetapi yang remeh ini andai dijaga dengan betul, banyak perkara tidak diingini berlaku di jalan raya dapat dikurangkan.

1. Sentiasa Memakai Pakaian & Peralatan Yang Sesuai
Pastikan keadaan topi keledar sentiasa dalam keadaan yang selamat. Pakai jaket, sarung tangan dan kasut yang bersesuaian. Ingat tentang keselamatan. Kalau utamakan gaya, pastikan ia juga mencapai piawaian untuk melindungi anda dari sebarang kecederaan. Pastikan 3S; Selamat, Sesuai dan Selesa!

2. Patuh Undang-undang Lalu Lintas
Semua papan tanda yang ada di jalan raya ada fungsinya. Patuh setiap papan tanda dan semua isyarat lalu lintas. Menunggang motosikal tidak memberikan anda lesen untuk melanggar peraturan jalan raya. Sentiasa peka setiap kali berada di lintasan zebra khususnya di kawasan perumahan dan sekolah. Kekalkan had laju dan patuh undang-undang untuk keselamatan bersama. Anda dan orang di sekeliling.

3.Jaga Jarak Keselamatan
Sentiasa menjaga jarak selamat anda di antara kenderaan di hadapan dan juga di bahagian sisi. Dengan menjaga jarak, anda mempunyai masa yang mencukupi untuk bertindak balas sekiranya ada hal-hal mengejut yang berlaku di hadapan atau kecemasan yang tidak diduga. Mengikut kenderaan terlalu rapat sama ada rapat ke depan atau rapat dengan sisi kenderaan terutamanya yang lebih besar seperti lori, mengundang risiko yang lebih tinggi dan boleh menyebabkan kemalangan.

4. Kepentingan Komunikasi, Isyarat dan Disiplin Lorong
Sentiasa rajin menggunakan isyarat atau penunjuk arah jalan yang sedia ada apabila membelok atau menukar lorong. Menzahirkan niat anda agar dapat dilihat oleh pengguna jalan lain seterusnya memahami tindakan anda yang seterusnya. Bertindak balas dengan sewajarnya. Amalan mudah ini dapat mencegah banyak kemalangan yang sepatutnya boleh dielakkan.

5.Mudah Dilihat
Pastikan anda mudah dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain. Pakai pakaian yang terang dan mempunyai refleksi agar dapat dilihat ketika waktu gelap dan berkabus. Khususnya ketika menunggang di waktu awal pagi atau lewat malam dan juga hujan. Gunakan lampu hadapan walaupun pada siang hari untuk meningkatkan ‘kehadiran’ anda di atas jalan raya.

6. Amalan Disiplin Menukar Lorong
Dalam keadaan jalan raya di Malaysia, sukar untuk kekal dalam satu lorong yang sama. Anda disarankan untuk kekal dan tidak merayap terlalu kerap, berpindah ke lorong-lorong lain. Namun, jika anda ingin berbuat demikian. Pastikan anda memberi isyarat terlebih dahulu. Sentiasa periksa cermin sisi untuk memantau keadaan titik buta sebelum menukar lorong.

7. Tip Berinteraksi Dengan Kenderaan Lain dan Pejalan Kaki
Sentiasa peka dan hormati pengguna jalan raya lain termasuk penunggang basikal dan pejalan kaki. Berikan laluan yang betul apabila diperlukan dan sesuai serta selamat untuk kedua-dua pihak. Jangan bertindak agresif kerana ia hanya merugikan dan memakan lebih banyak masa. Elak dapat promosi negatif percuma dengan menjadi tular di setiap laman sosial kerana sikap agresif anda. Seminit marah boleh kekal dalam sejarah!

8. Berkomunikasi Dengan Isyarat Tangan
Sekiranya penunjuk isyarat anda bermasalah, ringankan tangan untuk membuat isyarat dan memudahkan pergerakan. Ia komunikasi yang sangat berkesan dengan pengguna jalan raya yang lain.

9. Sentiasa Waspada, Ramal dan Bertindak Balas
Mungkin tiada dalam mana-mana buku atau tertulis dalam peraturan tetapi anda perlu belajar untuk meramal tindakan pemandu lain khususnya yang berada di hadapan, belakang dan sisi. Bersedia untuk mengubah lorong serta siap memberikan isyarat sekiranya kereta depan berhenti tiba-tiba atau membelok secara mengejut. Menunggang dengan hati-hati adalah kunci untuk mengelakkan kemalangan.

10. Didik Atau Tegur Pembonceng
Pastikan pembonceng anda memahami peranan mereka untuk sama-sama menjaga keseimbangan dan keselamatan sepanjang perjalanan. Beritahu atau tegur sekiranya mereka melakukan perkara yang boleh mendatangkan bahaya.

11. Jaga Kesihatan & Sentiasa Fokus
Jangan sesekali menunggang di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Fokus dan elak dari gangguan seperti telefon bimbit ketika menunggang. Perhatian sepatutnya diberikan sepenuhnya di atas jalan raya.

Kesimpulannya, ikuti peraturan dan etika menunggang motosikal kerana ia akan membantu anda. Memastikan keselamatan anda dan pengguna jalan raya lain. Menunggang motosikal dengan penuh bertanggungjawab. Bukan hanya melindungi diri sendiri tetapi dalam masa yang sama hormat dan selalu bekerjasama dengan semua pengguna jalan raya lain. Sama ada yang bersaiz lebih besar mahupun lebih kecil.