Penyalinan Aprillia Yang Cemerlang

Waktu remaja dulu, motosikal idaman yang pernah terlintas untuk saya miliki ialah Aprilia RS125. Pada zaman 90-an RS125 dan RS250 adalah motosikal sport yang dianggap penting dalam arena permotoran negara. Ketika itu, motosikal berkuasa tinggi GP atas 500cc sangat mahal dan hanya dimiliki oleh golongan hartawan. Jika anda hanya seorang pengurus bank, mungkin RS250 adalah motosikal paling murah yang mampu dibeli.

Kalau dibandingkan dengan zaman sekarang, motosikal jauh lebih murah dan mudah untuk memilikinya. Sekarang pun ada kedai yang menawarkan skim pinjaman penuh tanpa perlu mengeluarkan sebarang deposit. Pada zaman saya sekolah dulu, nak beli kapcai pun paling tidak perlu ada RM2 ribu sebagai wang muka!

Aprilia RS125 (dan 250) menjadi penanda aras motosikal sport ketika itu, walaupun cc nya kecil tetapi harus diingat ia adalah motosikal 2 lejang yang sangat buas. Tidak hairanlah jika motosikal ini sering menjadi inspirasi pengubahsuai untuk mendapatkan rupabentuk menarik. Malah suka untuk saya katakan bahawa RS lebih anggun berbanding sesetengah motosikal moden hari ini dan bentuknya yang evergreen sebagai sportbike sepanjang zaman.

Inspirasi itu telah mencetuskan minat DD Hendra dari Kajang. Hobi mengubahsuai motosikal bermula sejak beliau memiliki Yamaha TZM ini. Rupabentuk TZM dengan garis badan tangki menjunam dan hugger belakang tertutup memungkinkannya diubahbentuk menjadi mana-mana sportbike dengan mudah. Ia mempunyai rekabentuk asas sebuah motosikal sport menjadikannya platform yang versatil untuk dijelmakan sebagai superbike impian. Dalam kes ini, beliau memilih Aprilia RS125 sebagai replika.

Pembikinan konsep motor-litar ini bermula dengan fabrikasi di bahagian belakang dengan kerja custom kerusi tunggal. Komponen ini dibuat daripada bahan gentian kaca yang ternyata mudah dibentuk. Dengan kerangka yang bersedia hingga 40cm dari posisi kerusi depan, kerja merekabentuk kebanyakannya dilakukan sendiri dari lakaran mudah pensel dan kertas. Beberapa penyesuaian dibuat dan akhirnya ia mendapat rupa menguncup seakan-akan punggung RS125. Sebuah lampu brek jenis LED diselitkan di belakang untuk melengkapkan kombinasi tadi.

Fairing sisi dan tangki minyak tidak disentuh langsung. Kerja pembuatan seterusnya adalah di bahagian depan yang melibatkan pengubahsuaian semula dengan kemasukan lampu utama jenis bulat yang diambil dari aksesori spotlight kereta. Mungkin di sini rupanya tidak dapat mirip lampu ‘ET’ Aprilia RS sebaliknya lebih kepada muka sebuah MV Agusta. Pembikinan fairing ini digandingkan dengan dubble bubble MRA yang dikerat mengikut rekaan bebas tadi.

Suspensi hadapan dilaras rendah hampir 4 inci dari kedudukan asal untuk mendapatkan rupabentuk sebuah sportbike tulen, merupakan komponen dari Racing Boy. Mudguard hadapan dibuang dan digantikan dengan yang lebih tipis. Beberapa percubaan dibuat dan agak mengejutkan ianya muat dari sebuah skuter Modenas Elit.

Kerja penambahan kit badan dan pembuatan semula ini dikemaskan dengan penggunaan warna merah putih dengan konsep Marlboro – Air Asia yang mana saya juga agak keliru apa yang cuba ditonjolkan sebenarnya. Namun saya percaya pemiliknya ada alasan tersendiri memilih konsep sedemikian rupa atau setidak-tidaknya beliau ada perancangan lain untuk masa depan TZM ini.

Beberapa pengubahsuaian lain turut dibuat seperti pemasangan sistem ekzos lengkap dari AHM (AH Hong Motor), perehat kaki jenis perlumbaan dan tuil kawalan buatan aloi. Seperti dinyatakan tadi, ia cuba menjadi sesuatu yang lain. Dari sportbike kecil 2 lejang kepada versi perlumbaan tren buatan Itali. Satu usaha yang wajar dipuji.