Pelancaran rasmi Cyclone RT5 menyaksikan jentera ini kini dijual di pasaran Malaysia pada harga RM16,888, tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans. Dibawa masuk secara rasmi bersama-sama model Cyclone RT2S, skuter yang lebih besar ini diedarkan oleh Cyclone Malaysia di bawah naungan MForce Bike Holdings.
Jentera ini disasarkan khas buat penunggang yang menginginkan kombinasi praktikal ulang-alik harian, keselesaan kembara jarak jauh serta kepintaran teknologi moden. Bagi pasaran tempatan, Cyclone RT5 ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Prestige Black, Strong Grey dan Alabaster White. Setiap pembelian skuter Cyclone didatangkan bersama jaminan pengilang selama dua tahun atau 20,000 km terhadap kecacatan pembuatan.
Dari segi prestasi enjin, konfigurasi trenkuasa jentera ini adalah identikal dengan model RT2S, di mana ia dijana oleh enjin silinder tunggal dengan sistem penyejukan cecair. Hamburan kuasa maksimum yang terhasil dicatatkan sebanyak 26hp pada 8,500rpm dan tork puncak 24.5Nm pada 6,500 rpm, yang kemudiannya dihantar terus ke roda belakang menerusi kotak gear automatik CVT bersama pemacu tali sawat (belt drive).
Membezakan jentera ini dengan model RT2S yang dibekalkan tangki 12.6 liter, Cyclone RT5 menerima kapasiti tangki bahan api gergasi sebesar 18 liter. Isipadu ini memberikan jarak perjalanan yang jauh lebih panjang antara setiap hentian isi minyak. Dari segi fizikal, skuter ini mencatatkan berat kering 190 kg berserta ketinggian tempat duduk pada paras 780 mm dari permukaan tanah.
Sistem kawalan casis dan brek jentera ini menggunakan suspensi fork teleskopik pada bahagian hadapan serta penyerap hentak berkembar di bahagian belakang. Tugasan brek pula ditangani oleh cakera hidraulik di hadapan dan belakang yang disepadukan bersama sistem Bosch serta kelengkapan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran. Imbangan jentera disokong oleh rim bersaiz 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang yang dibalut tayar berukuran 120/70 dan 140/60.
Cyclone RT5 dibekalkan dengan set bantuan tunggangan yang sangat komprehensif, merangkumi kawalan cengkaman (traction control), kamera papan pemuka (dash cam) hadapan dan belakang, serta sistem pemantauan tekanan tayar. Segala maklumat tunggangan paparkan secara jelas menerusi skrin TFT-LCD. Kelengkapan standard jentera ini turut menampilkan penghadang angin yang boleh dilaras secara automatik, tongkat tengah bermotor, serta cermin sisi bermotor.
Antara ciri baharu yang julung kali diperkenalkan pada RT5 ialah sistem pengesanan titik buta (blind spot detection). Di samping itu, ketersambungan pintar Carbit Ride turut disediakan berserta fungsi Bluetooth untuk peranti telefon pintar penunggang. Jentera ini juga sedia dibekalkan dengan rak pembawa belakang bagi pemasangan kotak simpanan (top box) mengikut pilihan penunggang.
Bagi melengkapkan kepraktisan harian, ruang storan serbaguna disediakan di bawah tempat duduk serta pada bahagian kiri dan kanan cowl hadapan. Keseluruhan pakej inovatif dan ciri kembara pada Cyclone RT5 ini menjadikannya sebuah jentera yang serba lengkap untuk menguasai perjalanan di atas jalan raya tempatan.