Pemacu Inovasi & Pembangunan Global

Bermula sebagai jenama tempatan dan masih merangkak untuk mencipta nama serta tidak dikenali oleh pemilik motosikal tempatan, Racing Boy atau nama kini RCB sudah gah di pasaran motosikal sebagai peneraju alat ganti atau aksesori motosikal tempatan.

Tidak terhenti di situ, jenama RCB juga semakin diterima secara positif bukan sahaka dikalangan pengguna motosikal tempatan malah nama RCB kini ‘mendonia’ di peringkat antarabangsa. Cerita dan perjalanan RCB yang penuh ranjau dan berliku sehingga ke hari ini tampak membanggakan apabila jenama tempatan itu sudah menyambut catatan sejarah sepanjang tiga dekad penubuhannya.

Untuk hari ini, RCB meraikan detik bersejarah meyambut ulang tahun ke-30, sekali gus menandakan tiga dekad pencapaian dari segi prestasi, dan inovasi dalam industri motosikal. Sempena meraikan ulang tahun ini, RCB dengan bangganya melancarkan Koleksi Edisi Terhad Ulang Tahun Ke-30 dalam satu majlis khas menampilkan pelbagai pameran eksklusif dan sorotan istimewa.

Koleksi ulang tahun ini menampilkan komponen istimewa yang direka khas untuk model-model popular seperti NMAX, NVX, Vario 150, LC dan Y15, serta pilihan produk universal. Setiap barangan dilengkapi dengan skema warna ikonik ulang tahun RCB gabungan hitam dan merah dengan komponen bersalut titanium serta logo ulang tahun ke-30 yang diukir menggunakan teknologi laser.

Dikemaskan dalam kotak edisi eksklusif, koleksi ini turut disertakan barangan kenangan seperti kad logam bernombor siri dan rantai kunci rekaan khas, menjadikannya pilihan ideal buat peminat tegar dan para pengumpul.

Antara tarikan utama koleksi ini termasuk komponen prestasi premium seperti Flow-Pro Series, S-3 Line, kaliper brek S26 dan R1, serta pam brek utama S1-FL. RCB turut memperkenalkan Topi Keledar Edisi Terhad RCB x ARC hasil rekaan eksklusif yang menggabungkan gaya dan ketelitian.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan dan menghargai sokongan pihak komuniti, RCB melancarkan Kempen Cabutan Bertuah Ulang Tahun Ke-30 dengan tawaran hadiah bernilai keseluruhan bernilai sehingga RM200,000.

Antara hadiah yang ditawarkan termasuk Yamaha XMAX edisi khas RCB, iPhone 16 Pro Max, iPad Air M3, serta 297 hadiah cenderamata edisi ulang tahun seperti baju-T, tumbler dan jaket fleece.

“Ulang tahun ke-30 ini bukan sekadar sambutan biasa, tetapi tanda penghargaan atas sokongan, semangat dan kepercayaan daripada para penunggang di seluruh dunia.

“Sejak awal, misi RCB tetap sama iaitu dalam menghasilkan komponen atau barang alat ganti motosikal yang berkualiti tinggi untuk meningkatkan keyakinan dan pengalaman tunggangan.

“Koleksi edisi terhad ini adalah penghargaan khas kami kepada komuniti yang sentiasa menyokong kami selama 30 tahun,” kata Encik Bruce Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MKA.

“Kejayaan ini memberi semangat baru untuk kami terus melangkah ke hadapan. Dengan pembukaan Pusat Inovasi di Malaysia dan pejabat baharu di India pada 2025, RCB bersedia untuk berkembang ke peringkat antarabangsa.

Namun yang paling penting, kami mahu terus berinovasi, memahami keperluan penunggang, mengikuti teknologi terkini, dan kekal setia kepada semangat sukan permotoran. Perjalanan kamimasih panjang, dan kami komited untuk menjadikan 30 tahun akan datang lebih berjaya,” tambah beliau.

Sejak tahun 2004, RCB bersama TWMR dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia bagi menyokong bakat tempatan. Kerjasama dengan ZK Racing pula membantu melahirkan pelumba muda dan meneruskan komitmen RCB dalam pembangunan akar umbi sukan permotoran.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran penunggang aksi bebas dari Slovenia, Rok Bagoros, dan pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayuddin, yang bersama-sama memeriahkan sambutan ulang tahun ini.

Pelancaran ini menjadi permulaan kepada kempen promosi global bagi sambutan ulang tahun ke-30 RCB. Kempen digital #30YearsWithRCB akan dilancarkan di media sosial, menampilkan pelbagai kandungan menarik seperti kisah komuniti, sorotan pelumba, rakaman di belakang tabir, dan pertandingan interaktif untuk peminat.

Paparan bertema ulang tahun dan promosi khas akan menonjolkan koleksi edisi terhad dimana RCB juga akan menganjurkan aktiviti komuniti seperti ‘Ride Out’ Ulang Tahun di beberapa negara Asia Tenggara.

Selain itu, RCB akan menyertai dua pameran motosikal antarabangsa CIMA di China pada bulan September dan EICMA di Itali pada bulan November 2025. Kolaborasi bersama pelumba terkenal dan influencer turut menjadi program yang akan menarik lebih ramai peminat.

Sambutan ulang tahun ke-30 ini bukan sekadar mengenang kejayaan yang lalu, tetapi langkah penting dalam memacu kejayaan di masa depan. Dengan pembukaan Pusat Inovasi, RCB terus komited untuk menghasilkan produk yang lebih baik dan memberi inspirasi kepada penunggang di seluruh dunia.