PD Waterfront Jadi Pilihan Sebagai Lokasi Tahunan

Program himpunan para pemilik TZR 125 Malaysia sepatutnya memasuki kali ke-10, namun ekoran musibah pandemik Covid-19 penganjurannya terpaksa dibatalkan dan penganjuran kali ini adalah kali yang ke-8. Menyingkap sejarah program himpunan pemilik TZR 125 dari seluruh semenanjung ini bermula pada tahun 2014.

Ketika itu, Dataran Senawang menjadi lokasi perhimpunan para pemilik Yamaha TZR 125 dari seluruh semenanjung untuk berkumpul. Seramai 35 orang pemilik telah hadir dan perjumpaan ini lebih berkonsepkan perkenalan, sesi suai kenal, santai dan juga perbincangan isu berkaitan motosikal TZR 125 milik masing-masing.

Sehubungan itu, kata-kata sepakat dicapai dan perjumpaan sulung ini dinobatkan sebagai Gathering TZR 125 Siri 1. Menurut Presiden TZR 125 Malaysia iaitu Noorazlan Othman yang lebih dikenali sebagai Pak Alang dan lebih mesra disapa dengan panggilan Apak berkata, menjejaki para pemilik TZR di semenanjung bukan kerja mudah kerana data terperinci tiada dalam simpanan kelab TZR 125 Malaysia.

Di situlah ukhuwah itu penting dan setiap ahli kelab berusaha demi menyatukan para pemilik TZR 125. Boleh dikatakan, pantang bertemu sesiapa yang menunggang motosikal TZR 125 akan dipelawa untuk menjadi ahli. Impak usaha ini dapat dilihat dan memberikan kesan positif.

Bercerita tentang sambutan Gathering TZR 125 kali ke-8 di PD Waterfront, keadaan tidak begitu menyebelahi apabila hujan lebat di sebelah pagi. Namun, ia tidak membataskan kehadiran para pengunjung ke acara tahunan ini. Wakil Roadstar yang turut hadir, cukup teruja apabila melihat model TZR 125 standard keluaran kilang terpampang di depan mata.

Berwarna hitam merah, biru kuning dan merah putih gah di depan mata dengan keaslian aksesori sekali gus membuktikan jentera rare ini masih mampu menambat hati pelbagai golongan. Hasil temubual dengan beberapa pemilik, membuatkan wakil Roadstar terkejut sebaik sahaja diberitahu tentang harga model berkenaan masa kini.

Ya, harganya mencecah RM40,000 bagi TZR 125 yang cantik dan mengekalkan keaslian keluaran kilang. Bercakap tentang alat-alat ganti pula, pemilik model ini berkongsi sumber sesama mereka berdasarkan harga. Ini kerana alat-alat ganti bagi model TZR125 boleh didapati dari pelbagai sumber, khususnya media sosial dengan harga yang pastinya berbeza-beza.

Semenjak penganjuran Gathering TZR 125 Siri 1 hingga Siri 8, tiada dana khusus yang diperolehi kelab atau penganjur bagi menjayakan program ini. Setiap musim, perolehan dana datang dari penjualan cenderamata kelab serta kutipan dari ahli-ahli serata semenanjung. Hadiah-hadiah yang diberikan kepada pengunjung majoritinya dibeli melalui sumber jualan cenderahati kelab dan penajaan dari beberapa kedai motosikal.

“Besar harapan kami jika pihak Yamaha dapat menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program ini kerana jenama ditularkan saban tahun oleh kami ialah Yamaha. Walaupun TZR 125 merupakan model lama, para pemiliknya masih bertahan serta tiada istilah pupus dalam minda kami,” tegas Pak Alang mengakhiri temubual.

Penulis berharap untuk penganjuran Gathering TZR 125 yang seterusnya, bertambahlah penaja yang sudi memeriahkan program tersebut. Apa yang pasti, seruan khusus kepada pihak Hong Leong Yamaha agar sudi turun padang bagi memeriahkan lagi suasana.

Bagi makluman, pihak penganjur Gathering TZR 125 telah memilih PD Waterfront di Port Dickson sebagai lokasi rasmi bagi acara Gathering TZR 125 Malaysia setiap tahun.