Ops Hari Raya Aidilfitri Bermula 29 April Sehingga 8 Mei


Sempena sambutan dan musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi, Kementerian Pengangkutan telah menggerakkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu. Kempen ini diadakan secara serentak di semua peringkat bermula dari 29 April sehingga 8 Mei ini.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, semua agensi, jabatan dan pihak swasta dan berkepentingan akan terbabit dalam aktiviti advokasi dan pendidikan dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya.
Selain itu, penguatkuasaan dilaksana menerusi Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Ops Selamat Ke-18/2022 oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Terdapat lima kesalahan lalu lintas utama sering dilakukan terutama sekali menjelang perayaan iaitu memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, gagal patuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan memotong barisan.
“Kesemua kesalahan ini tidak dibenarkan untuk dikompaun dan perlu diselesaikan di mahkamah.
“Seramai 2,200 anggota penguat kuasa JPJ akan terbabit dalam Ops HRA tahun ini dan turut menjalankan Pra-Ops HRA bermula 25 hingga 28 April yang akan melibatkan pemeriksaan bas ekspres di 75 depoh dan 28 terminal bas utama.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Bersepadu ini, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh JPJ adalah penguatkuasaan melalui kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres dan pemantauan melalui Enforcement Based Station (EBS) di 14 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya,” katanya pada majlis pelancaran kempen itu di sini, hari ini.
Kata Dr Wee lagi, JPJ turut melaksanakan rondaan di laluan utama Jalan Persekutuan dan Ops Khas Motosikal serentak di seluruh negara yang akan diadakan secara bersepadu bersama agensi yang berkaitan. Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan pula akan berkuat kuasa pada tiga hari sebelum dan dua hari selepas Aidilfitri iaitu 30 April hingga 2 Mei serta 7 dan 8 Mei.
“Larangan ini bertujuan mengelak risiko berlaku nahas di jalan raya akibat percampuran aliran trafik bersama kenderaan berat dan ringan lain.


“Kementerian turut mewartakan penurunan had laju sebanyak 10km/j bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri bagi tempoh sama (Jalan Persekutuan 80km/j, Jalan Negeri 70km/j).
“Pasukan peronda JKR juga akan ditubuhkan di setiap Daerah/Jajahan bagi membantu memantau sebarang kerosakan jalan dan kemalangan sepanjang tempoh Ops Bersepadu,” katanya.
Menerusi kempen ini kementerian berharap mencapai sasaran pengurangan jumlah kematian dan kecederaan daripada kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2030, berdasarkan Resolusi Persidangan 74/299 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sumber : Harian Metro