NVOG Bikers Truckers & Team Amal Mabrur Jayakan Program di Pulau Tujuh, Tasik Banding

Misi Dakwah Raya Belantara 2025 yang berlangsung dari 1 hingga 3 Mei telah berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat ukhuwah dan kemanusiaan. Program selama tiga hari ini dianjurkan hasil kerjasama erat antara Northern Versys Owners Group (NVOG), Team Amal Mabrur serta barisan Imam Muda dari Akademi Darul Ilmi. Bertemakan “Menyantuni Komuniti Orang Asli di Pulau Tujuh”, misi ini menekankan pendekatan dakwah dan kebajikan secara langsung kepada komuniti pedalaman yang memerlukan perhatian.

Perjalanan bermula seawal jam 4 pagi di Sungai Petani dan diteruskan ke kawasan RPS Banun sebelum peserta menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk meredah laluan off-road ke lokasi utama di Surau Belantara. Di sana, peserta mendirikan khemah, menyusun logistik, dan membahagikan tugasan untuk menyampaikan dakwah menggunakan bot ke kampung-kampung sekitar. Misi utama ini turut merangkumi sesi ziarah, penyampaian risalah, dan mengenal pasti individu yang berpotensi untuk dibimbing ke institusi seperti PERKIM atau PUSTAMU.

Malam pertama dihiasi dengan kuliah Maghrib, sesi BBQ dan perbualan santai bersama masyarakat setempat. Semangat kesederhanaan dan harmoni begitu terserlah apabila para peserta tidur beralaskan toto dan sleeping bag di surau, menjiwai kehidupan seharian penduduk kampung. Penglibatan aktif para pelajar, imam muda dan sukarelawan dari pelbagai latar belakang menjadikan program ini simbol penyatuan yang utuh.

Hari kedua pula menumpukan kepada pembangunan rohani dan ilmu dengan penganjuran Bengkel Halaqah Al-Quran 1.0 yang membantu masyarakat Orang Asli memperbaiki bacaan dan tajwid. Aktiviti diteruskan dengan gotong-royong membersihkan surau, solat Jumaat di Surau Semelor, serta jamuan tengah hari bersama penduduk. Waktu petang diisi dengan aktiviti santai seperti mandi jeram, manakala majlis serahan sumbangan berlangsung pada sebelah malam sebagai tanda kasih sayang kepada komuniti.

Kemuncak program berlangsung pada hari ketiga dengan bengkel halaqah lanjutan, sukan indoor bersama penduduk kampung serta sesi refleksi dan “Kalimah Akhirah” yang mengumpulkan pengalaman dan pengajaran sepanjang misi. Misi ditamatkan dengan solat Zohor dan pergerakan pulang melalui laluan off-road ke RPS Banun, meninggalkan kenangan manis serta iltizam untuk terus berbakti.

Misi Dakwah Raya Belantara 2025 bukan sekadar konvoi atau ekspedisi alam, sebaliknya menjadi wadah penyebaran ilmu, kasih sayang dan nilai kemanusiaan. Kecekalan pasukan 4×4 NVOG, komitmen Team Amal Mabrur dan semangat semua peserta adalah bukti bahawa gerakan bermotosikal mampu membawa impak besar kepada masyarakat jika disalurkan secara bijak. Tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga misi ini terus menjadi inspirasi untuk generasi akan datang.