Mula Dibuka Untuk Tempahan, Harga Bermula RM28,000

Jenama motosikal ikonik, Royal Enfield memperkukuh penawarannya di pasaran tempatan menerusi pelancaran rasmi Guerrilla 450 APEX 2026. Ditawarkan pada harga RM28,000, kehadiran varian APEX ini turut diiringi penambahbaikan bagi dua varian sedia ada iaitu Dash dan Flash. Pihak pengedar kini sudah membuka tempahan secara rasmi di lapan rangkaian pengedar sah seluruh negara, di mana setiap pemilikan model Guerrilla 450 dilindungi jaminan pengeluar dan perkhidmatan bantuan jalan raya selama tiga tahun.

Bagi makluman, barisan Guerrilla 450 2026 ditawarkan dalam tiga kemasan utama di samping varian APEX baharu. Varian Asas (Base) dengan warna Smoke Silver diletakkan pada tanda harga RM28,000, sepadan dengan harga jualan varian APEX. Varian Pertengahan (Mid) pula dijual pada harga RM28,300 menerusi pilihan warna Shadow Ash, Twilight Blue dan Peix Bronze. Sementara itu, varian Premium (Brava Blue) dipasarkan pada harga RM28,700.

Keistimewaan varian APEX berbanding Guerrilla 450 standard diserlahkan menerusi posisi tunggangan yang lebih sporty, pemakaian tayar khusus jalan raya serta sentuhan gaya yang diperkemas. Bagi memberikan identiti tersendiri, varian ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna eksklusif iaitu APEX Red, APEX Black dan APEX Green.

Dari sudut ergonomik, varian APEX menerima pemegang bar aluminium yang dilaras semula ke kedudukan lebih rendah bagi mewujudkan postur penunggang yang lebih condong ke hadapan. Pengendaliannya pula dipertingkat menerusi penggunaan tayar road-biased Vredestein Centuro ST bersaiz 17 inci, yang menurut Royal Enfield menawarkan cengkaman lebih mantap di atas permukaan basah mahupun permukaan bergeseran rendah.

Kelengkapan varian APEX turut diserikan dengan perincian khas seperti pelekat rim (rim tapes), penutup tempat duduk belakang (sculpted rear seat cowl) serta penutup hadapan (front cowl) mengikut warna padanan badan. Model ini juga menerima mod tunggangan Street dan Sport yang dikemas kini bersama fungsi mode retention, di mana tetapan mod terakhir akan kekal disimpan walaupun selepas enjin dimatikan.

Kemaskini pada mod tunggangan tersebut turut ditawarkan pada varian Guerrilla 450 2026 yang lain. Bagi varian Dash, ia kini menerima pilihan warna baharu Twilight Blue, manakala kedua-dua varian Dash dan Flash dipertingkat dengan penawaran tayar yang memberikan cengkaman lebih baik.

Aspek janaan kuasa masih mempertaruhkan enjin Sherpa 452 cc silinder tunggal sejukan cecair yang mampu menghamburkan 40 PS pada 8,000 rpm dan tork 40 Nm pada 5,500 rpm, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan. Dibina berasaskan kerangka steel twin-spar, kesemua varian Guerrilla 450 dilengkapi meter digital TFT bulatan 4-inci Tripper Dash yang menyokong sistem navigasi Google Maps serta ketersambungan telefon pintar.

Langkah Royal Enfield memposisikan Guerrilla 450 APEX 2026 pada tanda harga bermula RM28,000 jelas memberi nilai tambah yang sukar ditandingi dalam kelasnya. Bagi peminat tempatan yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat atau ingin menunggang uji, kesemua varian Guerrilla 450 2026 kini boleh didapati di lapan rangkaian pengedar sah Royal Enfield di seluruh negara.