Motosikal Seni Kayu Yang Memukau!

Pengusaha bengkel Kudik Garage di Kampung Permatang Langsat, Kepala Batas yang terletak di Pulau Pinang ini mengabadikan kebolehan menterjemahkan kehalusan seni ke atas Honda C65 dengan mengenakan kertas pelekat bertemakan kayu. Hasilnya? Cukup menarik dan tampil unik seakan sebuah motosikal kayu yang memukau pandangan mata yang memandang.

Honda C65 ini milik Hazarudin Hamazah atau lebih mesra dengan panggilan Din yang sudah pun berumur 47 tahun dan meminati motosikal klasik sejak muda lagi. Pada awalnya, Honda C65 ini seperti motosikal asal standard yang lain. Motosikal buatan tahun 1976 ini adalah warisan keluarga, turun-temurun sejak dari datuk sehingga bapa dan kini telah menjadi milik beliau.

Disebabkan minat membaik pulih motosikal, Din telah mengeluarkan bukan sedikit belanja kerana sebahagian besar komponen asal motor ini digantikan baru. Lebih mencabar lagi, kebanyakannya sukar diperolehi dan harga pun memang mahal. Ada juga beberapa komponen terpaksa dipesan dari Thailand dan negara lain. Manakala komponen yang tidak berjaya ditemui, terpaksa digabungkan dari beberapa komponen motosikal lain seperti cermin sisi dari Honda C50 dan ekzos semata-mata untuk menjelmakan semula jentera klasik ini mirip keadaan asalnya.

Selain itu, Din telah menggunakan lampu belakang dan pemijak belakang dari basikal. Bagi enjinnya pula, Din telah mengubahsuai enjin Honda C65 ini dengan menggunakan komponen EX5 seperti kaburetor dan block bersaiz 53. Bagi memantapkan lagi motor ini, Din turut memasang rim aloi Racing Boy 17 inci dengan tayar jenama TMEX. Bahagian tempat duduk belakang pula digabungkan dengan beg sandang. Kusyen depan juga telah diberi nafas baru dengan balutan hasil sentuhan Kudik Garage.

Bagi bahagian body motor pula, ia telah disaluti 100% dengan pelekat bertema kayu. Semua kerja pengubahsuaian terhadap motosikal Honda C65 ini telah dilakukan oleh Kudik Garage Kampung Permatang Langsat, Kepala Batas di Pulau Pinang. Untuk makluman, motosikal milik Din yang juga ahli kelab Snake River Kulim ini telah beberapa kali memenangi pertandingan Autoshow untuk kategori klasik.

Jangan tak tahu, walaupun motosikal ini klasik tetapi saudara Din kerap mengikuti konvoi bersama kelab Snake River Kulim ke beberapa lokasi menarik seperti Thailand, Cameron Highland, Kelantan, Port Dickson, Terengganu dan juga Kuala Lumpur. Motosikal klasik, kalau pandai jaga memang kalah motosikal baru!

Pemilik – Hazaruddin bin Hamzah
Asal – Sik, Kedah
Pekerjaan – Berniaga

Spesifikasi Motosikal
Jenama – Honda
Model – C65
Tahun – 1976
Gear Asal – 3-kelajuan
Enjin Sekarang – Kacukan EX5 4-kelajuan
Kaburetor – EX5
Block – 53
Body – 100% pelekat ukiran kayu
Nama Bengkel – Kudik Garage, Permatang Langsat, Kepala Batas, Pulau Pinang