Peugeot bukan lagi Peugeot tetapi telah dimiliki oleh Mahindra. Tunggu dulu, Peugeot Cars masih lagi sebahagian dari French Group PSA dengan Citroën, DS, Opel dan Vauxhall. Peugeot Motorcycles, syarikat yang bertanggungjawab untuk pemindahan skuter dan motor moped ke seluruh Eropah dan Asia telah dibeli oleh Mahindra pada tahun 2019.
Mahindra mempunyai impian sendiri sebaik sahaja mengambil alih jenama Peugeot dan mengumumkan untuk memperkenalkan 7 model terbaharu di antara 2021 dan 2023. Ia juga rancangan yang serupa dengan jenamanya dari India iaitu Jawa. Setakat hari ini, rancangan yang diusahakan berjalan dengan baik sekali.
Lazimnya, Peugeot lebih menyasarkan pasaran 50cc hingga 500cc dan motor terbaharu ini juga tidak ada bezanya. Menurut laporan RideApart, Pug terbaharu akan menjadi versi konsep P2X yang diperlihatkan di Paris Auto Show 2019. Terdapat dua varian, roadster 125cc berwarna biru dan cafe racer 300cc. Kedua-dua varian menggunakan DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan sesuai ditunggang di bandar serta tampil cukup bergaya, ala-ala French.
Kemungkinan besar, motor ini tidak akan dipasarkan di pasaran Amerika Syarikat kerana Peugeot tidak berhasrat untuk mengedarkan produk dua rodanya di sana. Sekiranya ada yang akan dilancarkan sekali lagi di sana, ianya pasti model cafe dengan varian 500cc. Jika motor ini dipasarkan di Malaysia satu hari nanti, adakah anda akan membeli dan berbangga menunggangnya?
Sumber : Jalopnik