Motor-motor Retro Meriahkan Bukit Merah Laketown Resort

Sekali lagi Bukit Merah Laketown Resort dibanjiri dengan kehadiran jentera lama yang terdiri dari motor dan kereta sempena penganjuran Perak Retro Fest 2020 yang berlangsung pada 15 Februari yang lalu. Dianjurkan oleh GM Event Management dengan kerjasama Bukit Merah Laketown Resort, pelbagai aktiviti telah disediakan bagi menghangatkan lagi penganjuran acara ini.

Bermula dari pukul 9.00 pagi dan berakhir sekitar 6.30 petang, Perak Retro Fest kali ini lebih kepada acara santai untuk bertemu para peminat kereta dan motor retro dari seluruh Malaysia. Selain segmen untuk kereta retro, pihak penganjur turut menyediakan segmen untuk motorshow yang dikendalikan oleh Geng Motorshow Perak. Sebanyak 3 kategori yang disediakan iaitu kategori utama Retro, Best Retro dan Open.

Dianggarkan sebanyak 150 buah motosikal telah menyertai acara ini yang menawarkan sebanyak 53 piala. Antaranya piala Best Of The Best Retro dan Best Of The Best Open. Diadakan di tapak letak kereta Bukit Merah Laketown Resort, acara Perak Retro Fest 2020 ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti lain seperti cabutan bertuah yang ditaja oleh Bukit Merah Laketown Resort.

Selain itu, gerai-gerai jualan juga dibuka bagi memberi peluang para peniaga tempatan mempromosi produk masing-masing. Para peserta dan pengunjung turut dihiburkan oleh kumpulan HK Busker yang terdiri dari para pelajar sekolah menengah di Taiping diketuai CG Bob. Tahniah kepada para peserta yang meluangkan masa berhimpun untuk mengeratkan ikatan silaturahim. Semoga acara ini terus mendapat sambutan sekali gus menyemarakkan lagi dunia permotoran Malaysia.

Disediakan oleh : Pak Art