Motor Kustom Diinspirasikan Porsche Speedster

Industri permotoran dan kereta menghimpunkan paling ramai pengikut dan juga peminat tegar di seluruh dunia. Bagi golongan ini, motor dan kereta bukan lagi sekadar pengangkutan yang membawa mereka ke satu lokasi ke lokasi yang lain malah ia lebih dari itu. Lebih tepat lagi, kedua-dua motor dan kereta ini adalah sebahagian dari jiwa dan membawa identiti mereka.

Apa yang dilihat sekarang ini adalah hasil kerja seni dan penghargaan terhadap ikon automotif lagenda. Motor kustom ini adalah hasil kerja tangan oleh Lord Drake Kustoms yang berlokasi di Malaga, Sepanyol. Asal motor kustom ini adalah dari sebuah Harley-Davidson Sportster 883 R keluaran tahun 2007. Yang menariknya, ia mempunyai ciri-ciri yang ada pada ikonik lagenda Porsche Speedster.

Fran Manen dari Lord Drake Kustoms berjaya membangkitkan ciri-ciri lagenda automotif ini ke atas sebuah motor dengan cukup sempurna. Bukan sahaja motor ini menghidupkan kembali rekaan yang ada pada Porsche Speedster, malah Fran Manen berjaya menyuntik satu lagi ciri penting iaitu auranya yang memang nampak laju. Beberapa ciri asal motor ini dikekalkan sebagai ingatan yang ianya sebuah Sportster.

Sebagai permulaan, penapis udara terbuka telah dimuatkan di bahagian sisi enjin. Perumahnya dikemaskini dengan warna krom yang membantu motor ini bernafas dengan enjin v-twin dengan lebih mudah. Bagi melengkapkan sistem pengambilan, sistem ekzos penuh dari Vanes & Hines telah dipasangkan. Selain itu, turut dipasangkan set kustom rim jari tebal yang tampil lebih sporty dan estetik.

Kerangka belakang telah dipendekkan untuk tampil lebih agresif, sementara tangki bahan api dan bahagian ekornya dibuat dari kertas metal buatan tangan. Bahagian tangki kustom dan ekor ini direka untuk mewujudkan ciri-ciri klasik Porsche Speedster dengan embemblem Porsche yang dipamerkan di kedua-dua sisi tangki. Bagi memberikan sentuhan gaya moden, Lord Drake Kustoms telah memasang lampu LED dalam perumah kepingan krom.

Sumber : RideApart.com