Motor Honda CB360 Kustom, Cantik Tapi Rumit?

 

Bukan semua motor kustom boleh ditunggang dan apabila motor yang dibina sebegini rupa, soal praktikaliti dan kewajaran kurang diteliti kerana ia lebih kepada sebuah luahan seni pembina motor itu sendiri. Motor Honda CB360 keluaran tahun 1970-an ini adalah salah satu contoh motor yang telah dimodifikasi dengan cukup cantik tetapi adakah ia sesuai untuk ditunggang? Adakah ia mampu ditunggang?

Titan One, nama yang diberikan kepada Honda CB360 ini merupakan hasil seni dan kreativiti Titan Motorcycles. Tidak dinafikan, pasukan Titan Motorcycles telah berjaya membina sebuah motor yang lain dari yang lain serta unik. Sudah tentu, mereka menghabiskan masa yang agak lama untuk menyempurnakan motor Titan One ini. Lihat sahaja pada tempat duduk yang diperbuat dari kayu. Mustahil bertahan untuk penunggangan yang panjang.

Lebih merumitkan keadaan, ia dipadankan dengan clip on yang terlalu rendah dan kedudukan paip ekzos terlalu hampir dengan punggung. Mungkin anda boleh menyesuaikan diri dan menunggang motor ini tanpa sebarang masalah tapi secara logiknya, ia sangat rumit dan tidak sesuai untuk ditunggang. Dalam keghairahan membina motor kustom, seharusnya asas dan tujuan asal motor perlu diambil kira. Bukan sekadar cantik dan dijadikan sebagai perhiasan semata-mata.

Sumber : Rideapart.com