MotoGP : SOP Ketat Di Litar Jerez Perlu Dipatuhi

Setiap ahli dalam pasukan MotoGP perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat semasa kejuaraan perlumbaan disambung semula di Litar Jerez, Sepanyol, hujung minggu ini.

Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia 2020 telah ditangguhkan sejak Mac bakal disambung semula hujung minggu ini di Litar Jerez.

Presiden Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Jorge Viegas; Presiden Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA), Herve Poncharal; dan Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta dalam kenyataan bersama pada Ahad lalu sependapat langkah tersebut penting untuk mengekang penyebaran pandemik COVID-19 yang telah menjadi ancaman seluruh dunia.

“Kami harus mengambil kesempatan ini untuk memberi peringatan kepada semua tentang kepentingan langkah-langkah keselamatan dan prosedur perubatan yang memungkinkan kita semua kembali ke litar.

“Sebelum tiba di Litar Jerez-Angel Nieto, kami mengingatkan kepada semua bahawa selepas anda diuji, setiap ahli paddock harus melakukan kawalan kendiri sebanyak mungkin dan mengelakkan hubungan yang tidak perlu dengan orang lain sehingga pada waktu tiba di litar,” kata kenyataan itu.

Perlumbaan hujung minggu ini akan diadakan di bawah kebiasaan baharu dengan protokol perubatan yang lebih komprehensif diperkenalkan bagi memastikan semua terlibat dalam perlumbaan mematuhi standard keselamatan tertinggi ditetapkan oleh FIM, IRTA dan Dorna Sports.

Dalam pada itu, tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati melanggar protokol perubatan di dalam dan luar litar.

“Sebarang pelanggaran protokol perubatan akan diambil serius dan tindakan segera akan diambil oleh pihak penganjur,” katanya.

Perlumbaan Grand Prix Sepanyol hujung minggu ini turut melibatkan pasukan MotoGP negara, Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) dan tiga pelumba negara iaitu Hafizh Syahrin Abdullah (Aspar Team) dan Kasma Daniel Kasmayudin (ONEXOX TKKR SAG Team) dalam kelas Moto2 serta Khairul Idham Pawi (Petronas Sprinta Racing) dalam kelas Moto3.- Bernama

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ