MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang

Marc Marquez muncul sebagai pelumba yang meraih mata terbanyak semusim setelah memecahkan rekod dipegang Jorge Lorenzo yang sebelum ini mengumpul sebanyak 383 mata berbanding rekod baru dicipta Marquez iaitu sebanyak 395 mata. Walaupun tidak meraih kejuaraan untuk pusingan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang, pelumba kelahiran Sepanyol yang mewakili pasukan Repsol Honda ini tetap mengungguli di tangga teratas kedudukan keseluruhan.

Menjulang kemenangan pertamanya sejak GP Belanda di Assen, Maverik Vinales yang juga dari Sepanyol dan pelumba Monster Yamaha ini berjaya menyempurnakan persaingan dan meninggalkan Marquez di tempat kedua. Manakala pelumba dari pasukan Ducati, Andrea Dovizioso terpaksa akur di tempat ketiga. Namun begitu, beliau kekal mempertahankan posisinya di tempat kedua untuk kedudukan keseluruhan dengan 256 mata.

Sementara itu, bagi Moto2 telah menyaksikan keunggulan Alex Marquez mengikuti jejak langkah abangnya yang dinobatkan sebagai juara bagi musim 2019 di Litar Antarabangsa Sepang. Dalam kegembiraan menyaksikan pelbagai rekod dicipta, para peminat dunia lumba motor terutamanya MotoGP dikejutkan dengan kematian salah seorang pelumba dari Indonesia yang terlibat dalam kemalangan.

Afridza Munandar yang bersaing dalam saingan Asia Talent Cup (ATC) itu terlibat dalam satu kemalangan yang berlaku di selekoh 10 pada pusingan 1. Sejurus kejadian itu, bendera merah dikibarkan dan beliau menerima rawatan perubatan di tepi trek. Beliau turut dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan helikopter. Pasukan perubatan samada di litar atau hospital telah mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Afridza tetapi beliau tidak dapat diselamatkan. Takziah diucapkan kepada keluarga, rakan dan orang tersayang Afridza Munandar. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Selain aksi-aksi lumba yang mendebarkan, para peminat yang datang untuk menyaksikan perlumbaan motor berprestij ini turut dihidangkan dengan pelbagai aktiviti menarik. Para pengunjung mengunakan kesempatan ini mengunjungi gerai-gerai pameran yang disertai nama-nama hebat dunia permotoran. Antara yang terlibat sebagai pempamer sepanjang berlangsungnya MotoGP di Sepang ini termasuk NGK Spark Plugs, MotoBatt, Timsun, KTM, Kawasaki, Honda, Suomy dan banyak lagi.