Next Bike Sdn. Bhd. merupakan pengedar rasmi Ducati di negara ini memperkenalkan dua model Scrambler terbaharu Scrambler 1100 PRO dan 1100 Sport PRO. Model terbaharu Scrambler 1100 PRO ditawarkan pada harga RM75,900 manakala bagi 1100 Sport PRO yang lebih sporty pula RM80,900.
Scrambler 1100 PRO ditawarkan dengan skim dua tona warna baharu Ocean Drive yang digandingkan bersama rangka Trellis dan subrangka aluminium belakang berwarna hitam. Ia turut didatangkan dengan ekzos dual tailpipe dan pemegang plat lebih bergaya di bahagian belakang jentera.
Selain itu, Scrambler 1100 PRO hadir dengan lampu utama diilhamkan daripada penggunaan pita pelekat pelindung pada era tahun 70-an. Rekaan keluli berbentuk X di dalam lampu berkenaan menyerlahkan lagi sisi garang jentera ini sekali gus memudahkan ia dikenali walaupun ketika lampu tertutup.
Bagi Ducati Scrambler 1100 Sport PRO pula, ia merupakan model paling mantap diserlahkan dengan penggunaan handlebar jenis low-slung, cermin sisi Cafe Racer, skema warna Matt Black serta panel sisi yang dicat logo 1100.
Ducati Scrambler 1100 PRO dan 1100 Sport PRO mendapat khidmat enjin L-Twin Desmodromic 1,079 cc yang mampu menjana 84.7 hp dan tork 90.5 Nm. Ia turut mendapat sentuhan sistem suntikan bahan api dan transmisi enam kelajuan. Aspek keselamatan, kedua-dua model dilengkapi ciri seperti Ducati Traction Control, ABS Cornering serta tiga mod tunggangan iaitu Active, Journey dan City.
Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ