Program Marshall Level 2 yang memasuki selatan tanahair menerusi kombinasi antara GIVI dan Majlis Perbandaran Muar (MPM) berserta tenaga kerja MotoWazi telah berlangsung awal April lepas, adalah aktiviti yang cukup terkesan bagi diri penulis.
Apa tidaknya, tanpa sebarang pengetahuan dan motif sebenarnya serta intipati program yang dijalankan, ia sebenarnya satu pembelajaran dan cabaran buat penulis. Cukup untuk penulis katakan, aktiviti berkonvoi adalah hobi dan kesukaan penulis di kala hujung minggu namun menyertai himpunan sebegini ramai merupakan pengalaman besar yang hadir sekali sekala buat penulis dikala bertugas.
Menulis di kolum sukan permotoran mendorong penulis mengikuti program sebegini apatah lagi ianya cukup bermanfaat bagi catatan seorang penulis terutamanya untuk mendalami aspek dan tunggangan dalam dunia permotoran sebenar.
Secara jujur, ini adalah kali pertama buat penulis merasai sepenuhnya berada dalam kelompok penunggang motosikal dalam skala besar yang pastinya akan disaluti dengan pengajaran dan pembelajaran yang berguna.
Sememangnya bukan satu tugas mudah untuk memimpin sebuah kelompok dianggotai pelbagai motosikal, apatah lagi ia membabitkan sekitar 30 buah motosikal dari pelbagai jenis model dan kuasa yang berbeza.
Bukan sahaja kuasa dan model motosikal berbeza yang harus petugas marshall krew awasi, malah tidak kurang juga aspek dalam hubungan dengan para peserta konvoi dan pengguna jalan raya lain turut wajar dititik beratkan.
Jika pembaca ingin tahu, Program Marshall Jelajah Selatan Level 2 merupakan program yang memberi cabaran kepada para peserta yang mahu mempelajari selok belok untuk mengendalikan konvoi bermotosikal secara berkumpulan dengan tertib dan berdisplin khususnya di atas jalan raya.
Malah, idea program yang diketengahkan oleh GIVI Malaysia bersama MotoWazi mempunyai kesinambungan dan akan menemui di sekitar negeri anda di seluruh tanahair.
Hanya yang perlu anda lakukan adalah pendaftaran sekiranya program ini berlangsung di negeri anda melalui laman sesawang GIVI Malaysia.
Berbalik kepada program ini, ia bermula dengan tugasan berkumpualn dengan semua peserta dibahagikan mengikut plantun (marshall) yang telah ditetapkan bagi menilai setiap kumpulan ketika memantau dan memastikan setiap pergerakan konvoi berjalan lancar.
Pada sesi awal pagi, perkara pertama adalah sesi pendaftaran dan taklimat ringkas dari Pengarah MotoWazi, Wazi Abdul Hamid ketika kesemua peserta berkumpul di Dataran Tanjung Emas, Muar.
Untuk makluman, Dataran Tanjung Emas atau nama lain bagi lokasi itu adalah Taman Tanjung Emas iaitu sebuah taman rekreasi yang terletek di muara sungai Muar dengan paparan jelas terbentang luas Laut Selat Melaka.
Replika durian gergasi menyambut kami dan pengunjung apabila mereka tiba di taman tersebut. Di sini juga terdapat sebuah medan selera yang menyajikan hidangan asam pedas yang menjadi trend mark bagi mereka yang mahu berkunjung ke bandar Muar ini.
Di dataran ini juga lokasi di mana penduduk sekitar ini berhimpun samada untuk melenturkan anggota badan, melakukan senaman seperti Tai-Chi, perjumpaan berkumpulan atau riadah bersama ahli keluarga dan sahabat handai.
Menariknya, aktiviti bermotosikal bagi Program Marshall Jelajah Selatan Level 2 mendapat respons positif dari Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jamil Hasni Abdullah yang bukan sekadar meraikan majlis itu malah turut secara langsung mengikuti aktiviti konvoi dengan jentera Yamaha RXZ miliknya.
Usai pelepasan para peserta Program Marshall Jelajah Selatan Level 2 oleh wakil Pegawai Daerah Muar, Mustaffa Kamal Shamsudin, konvoi kami diiringi oleh sebuah kereta peronda Polis dan sebuah jentera pacuan 4×4 dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menghala ke Pit Stop ke-2 iaitu pengkalan Jeti Pengkalan Parit Tiram yang hanya sekadar memakan masa 15 minit perjalanan.
Di sini juga, bermulanya aktiviti marshall dengan tugasan yang telah dibincangkan sebelum acara bermula dan juga para peserta yang mengikuti konvoi terbabit. Bagi penulis, lokasi untuk pitstop pertama ini, merupakan detik terbaik khasnya bagi mengisi kekosongan perut yang semakin kuat berdendang.
PitStop 2 yang dikenali Jeti Pengkalan Parit Tiram merupakan perkampungan nelayan yang terletak dipinggir Bandar Maharani. Paling istimewa, kami berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana tiram itu diambil dari dasar laut dan juga demontrasi mengupas tiram dari orang kampung di situ.
Selesai menghabiskan sarapan pagi berupa nasi lemak, kuih muih dan air panas pelbagai perasa oleh penduduk kampung di Jeti Pengkalan Parit Tiram, bermula lah episod pertama bagi kumpulan marshall ke-2 yang telah bersedia untuk mengarahkan semua anggota untuk mengharungi perjalanan atau ke pit stop seterusnya iaitu ke Bukit Kepong.
Tanpa pengawasan pihak berkuasa yang sebelum ini mengawasi pergerakan kami di depan namun kini ia berbeza dengan sekadar memerhatikan kami di kelompok paling belakang sekali.
Ini bertujuan bagi memastikan bahawa setiap kumpulan marshall yang terpilih menggunakan segala pembelajaran dan pengalaman tanpa sebarang kuasa eksekutif sebagai contoh dari pihak berkuasa tempatan.
Untuk perjalanan dari Jeti Pengkalan Parit Tiram ke Bukit Kepong juga agak lama iaitu memakan masa hampir satu jam dan dalam tempoh yang agak Panjang itu pasti ada halangan dan cabaran yang terpaksa diharungi oleh krew marshall.
Berdepan risiko kenderaan di atas jalan raya, krew marshall harus di puji kerana berjaya menyelia pergerakan konvoi dengan berjaya. Untuk menjadi anggota krew marshall yang dedikasi, paling utama adalah pergerakan lancar tanpa sebarang kesilapan jalan atau laluan yang dituju.
Sebaik sampai di Muzium Balai Polis Bukit Kepong iaitu PitStop ke-3 dalam program ini, kami disambut meriah oleh Sarjan Mohd Roslan Abd Rahman. Turut memangku jawatan selaku Penyelia Galeri Darurat Bukit Kepong, Sarjan Mohd Roslan menceritakan serba ringkas mengenai sejarah mengenai Balai Polis Bukit Kepong yang cukup terkenal dalam lipatan sejarah hitam tanahair.
Kesan sejarah dan perjuangan pihak berkuasa dan orang kampung di situ sehingga mengorbankan seramai 25 nyawa termasuk 14 anggota polis yang mengegar tanahair pada tanggal 23 Februari 1950 antara intipati ucapan Sarjan Mohd Roslan kepada kami.
Terkesan dengan peristiwa bersejarah itu, penulis sebenarnya tergerak untuk menyahut jemputan pihak GIVI adalah kerana lawatan ke atas Balai Polis Bukit Kepong ini.
Saban kali disajikan filem arahan arwah Jins Shamsudin (Bukit Kepong) setiap kali berlakunya hari bersejarah seperti Hari Kemerdekaan, Hari Polis dan sebagainya, ia menyentap jiwa penulis untuk menyaksikan dengan mata kepala sendiri lokasi terletaknya Bukit Kepong ini.
Sekali pun pihak Galeri Darurat Bukit Kepong dan Balai Polis Bukit Kepong menyajikan cendol dan buah-buahan potong, hati penulis masih tertarik untuk menjarah setiap inci kawasan balai polis bersejarah tersebut.
Peninggalan berek kediaman kelamin dan bujang hanya menjadi tanda sejarah di situ. Manakala bangunan menempatkan Balai Polis Bukit Kepong sudah terbakar dan digantikan dengan bangunan baharu.
Menurut petugas di situ, sewaktu filem Bukit Kepong arahan Jins Shamsudin dilakukan ia bukan beroperasi di sini sebaliknya pengambaraan itu dilakukan di kampung sebelah yang berdekatan.
Cuma, pada pengamatan penulis apabila melihat senario Bukit Kepong pada waktu sekarang ini, hati penulis tertanya-tanya, apakah keistimewaannya yang terdapat kawasan itu?
Kembali ke aktiviti Marshall Jelajah Selatan Peringkat ke-2 ini, ia diteruskan ke PitStop ke 4 menuju ke Pusat Betta Persephone Air Hitam, Kompleks Air Hitam melalui laluan jalan Kangkar Senangar.
Ketibaan kami disambut oleh Penghulu Mukim Air Hitam dengan sajian air nenas dan sudah pasti nenas potong dan beberapa kuih muih tradisi kawasan itu. Nenas adalah produk utama negeri Johor bahkan negeri ini juga turut mengeksport bua-buahan tersebut ke beberapa negara di seluruh dunia.
Hasrat penulis membawa pulang beberapa biji nenas hampa kerana penganjur di situ tidak menyediakan nenas ‘bulat’ (tidak dipotong). Begitupun kekecewaan penulis sedikit terubat apabila berjaya membeli beberapa buah tangan antaranya ‘kerepek pisang tanduk’ (satu produk perusahaan IKS paling utama) sebagai cenderahati untuk di bawa pulang sebagai ole-ole dari Muar.
Keperitan panas matahari jelas terasa sewaktu mula meninggalkan kompleks penghulu mukim Air Hitam pada jam 12.30 tengahari dengan lokasi seterusnya iaitu PitStop ke-5 menujuju ke Sarang Buaya Waterfront yang terletak di Sungai Balang.
Untuk makluman, Sungai Balang merupakan kawasan dalam daerah Muar yang paling hampir dengan persempadan daerah Parit Sulong. Ketibaan kami di sambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Zaiton Ismail.
Tarian Kuda Kepang dan persembahan Barong serta tidak lupa silat warisan antara pertunjukan budaya masyarakat disini ketika konvoi kami yang diketuai oleh Jamil Hasni Abdullah selaku orang kenamaan yang mengetuai barisan depan kami.
Nasi putih dan beberapa jenis lauk selain ikan masin dan air sirap menyejukkan badan adalah sajian yang dijamukan oleh masyarakat di situ. Terdahulu, kami diperkenalkan dengan beberapa produk IKS antaranya dodoi (produk utama di kawasan itu) untuk kami membawa pulang ke destinasi masing-masing.
Sambil disajikan masakan tengahari, kami dipaparkan dengan cerita rakyat di situ dan adegan cerita rakyat Balong menarik perhatian semua. Tidak penulis pasti perihal sebenar jalan watak Balong ini namun difahamkan ia adalah kisah zaman dahulu kesusahan penduduk berdepan dengan kerakusan mengenai raksasa yang dikenali Balong.
Usai menjamu selera dan konvoi kami mula bergerak ke PitStop ke-6 untuk melakukan rutin selaku seorang Muslim di kala jam menghampiri angka 3 petang. Di Masjid Al Ehsan, Parit Jawa, kami disambut kariah masjid situ dengan minuman ringan sahaja.
Selepas menunaikan solat, konvoi kami dijemput ke lokasi yang bukan dalam program kami. Hasrat itu ditunaikan sekali pun ia bukan perencanaan awal mahupun dalam ‘list’ yang diberikan. Kami disajikan bihun goreng dan minum sejuk yang menyegarkan selain dapat melihat koleksi vintage dari pelbagai barangan lama yang terletak bersebelahan kedai makan itu.
Penamat bagi semua peserta berkonvoi adalah di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Muar, Tuan Haji Mustaffa Kamal Haji Shamsudin yang turut menyampaikan sijil kepada semua 30 peserta yang terlibat.