Pada tanggal 25 April 2002, Caleb Wyatt muncul pelumba pertama memperkenalkan aksi backflip dalam acara sukan motocross. Sejak aksi Wyatt itu, berpuluh-puluh pelumba baharu dalam sukan motosikal ini terus meniru dan memperagakan aksi backflip dalam sukan ini. Ia merupakan inovasi terbaharu yang tercipta dalam sukan motocross. Para pelumba akan menunjukkan aksi bermula dari tanah berlumpur dan akan memecut untuk mendapat anjakan dan lompatan yang tinggi di udara.
Ketika terbang di udara, pelumba mula melakukan pelbagai aksi backflip dan pendaratan yang mantap membolehkan mereka mendapat kutipan mata yang banyak oleh juri pertandingan. Motocross moden sebenarnya bukan hanya sekadar sukan, tetapi dibahagikan kepada beberapa disiplin yang berbeza yang menguji kemahiran berbeza dan memberikan pengalaman mendebar dan mengujakan buat penonton. Supercross adalah versi sukan dalam stadium yang berasal dari sukan motocross.
Supercross yang dibina pada tahun 1970-an adalah acara sukan yang memudahkan peminat mengikuti dan menikmati permainan itu sendiri. Pelumba Australia, Robbie Madison antara pelumba dalam sukan stadium yang membuat catatan rekod dunia apabila lompatannya sejauh 98 meter muncul lompatan terjauh pada satu perlumbaan motocross yang diadakan di Las Vegas pada Januari 2018.
Disediakan oleh : Mohd Izzuddin Kamaruddin