Menghimpunkan Para Peminat Dua Motor Serta Mengadakan Misi Kemanusiaan!

Dianjurkan oleh gabungan dua buah kelab motor di Sungai Petani, Blackez MC dan Soul Riders. SP Bike ini terhasil dari cetusan idea dan perbincangan kedua-dua presiden tadi iaitu saudara Benyamin Yaacob dan Mohd Shukri Supian. Bagi menjayakan SP Bike Meet yang dianjurkan buat kali kedua ini, seramai 80 orang ahli dari kedua-dua kelab turut terlibat.

Demi memastikan penganjuran kali kedua SP Bike Meet ini berjalan dengan lancar, pihak penganjur telah mengadakan persiapan selama lima bulan sebelum acara berlangsung dan ianya mendapat kerjasama penuh dari Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) serta kelab-kelab permotoran dari seluruh negeri Kedah. Antaranya termasuklah SYM Motor Penang, Concept Z, Fast Ride, Butik Nurana, Idaman Environment, Carnival Water Park, Kelab Cinta Sayang.

Penganjuran kali kedua SP Bike Meet 2 ini tercetus ekoran kurangnya acara dan aktiviti permotoran diadakan di negeri Kedah yang melibatkan kehadiran bikers dari luar. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyatukan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara bikers di negeri Kedah tanpa mengira jenis dan kuasa motor.

Berbanding penganjuran kali pertamanya tahun lalu, SP Bike Meet 2 yang diadakan selama dua hari bermula dari 7 Mac hingga 8 Mac yang lalu ini telah menerima sambutan diluar jangkaan dengan kehadiran seramai lebih 10000 orang pengunjung. Tapak acara bertambah meriah dengan pertandingan autoshow yang diadakan serta kehadiran motor-motor kapcai yang sangat memberansangkan.

Selain aktiviti dan segmen permotoran, SP Bike Meet turut mengadakan kutipan derma untuk adik Ryan (pesakit jantung kritikal) dan sebanyak RM5 dari setiap yuran pendaftaran didermakan ke rumah tahfiz sekitar Sungai Petani. Malah, sebelum SP Bike Meet ini berlangsung, dua group yang bergabung ini merupakan antara group bikers yang menyumbangkan serta mengadakan misi kemanusiaan kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan.