Dapat Sambutan Ala VIP Di Betong
Perjalanan ke Betong, Thailand dari Bukit Mertajam sebenarnya adalah ride yang cukup sederhana bagi mereka yang kerap melakukan aktiviti bermotor saban minggu. Samada jentera kecil mahupun motosikal berkuasa besar, jarak perjalanan bukan lagi satu masalah bagi mereka.
Media Ride To Betong meliputi jarak perjalanan sekitar 90km (jarak keseluruhan 180km) sahaja. Boleh dikatakan ia konvoi media siri jelajahan yang paling pendek pernah kami harungi sebelum ini.
Begitupun, kami tetap disajikan beberapa lokasi menarik sepanjang perjalanan tersebut. Melalui kawasan Bukit Mertajam kami menyusuri Lebuh Raya Kulim seterusnya menempuh beberapa tempat menarik antara pekan Baling di Kedah dan suasana pekan mendamaikan Pengkalan Hulu di utara Perak.
Menarik konvoi bermotosikal kali ini, wakil media terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan media pertama dibekalkan dengan jentera agresif sementara satu lagi kelompok media membawa jentera MForce yang bersifat santai dengan kedua-dua kumpulan diketuai oleh marshal MForce selaku ketua platun di depan.
Penulis berada dalam kelompok jentera agresif apabila berpeluang menguji jentera SYM VF3i, jentera yang penulis sifatkan sebagai jentera dalam segmen moped berkuasa tinggi.
Selain model yang dibawa penulis, model lain yang dibawa oleh pengamal media lain ialah model SYM Jet14, Brixton 125 Caferacer, Benelli VZ 125i, Benelli RFS 150i, Benelli TNT 135i dan CruiSYM 250i selain kami turut ditemani oleh kenderaan pancuan 4 roda MForce bagi aspek keselamatan.
Hal yang paling menarik bagi saya adalah ketika menempuh pemeriksaan imigresen. Tambahan, ini merupakan kali pertama penulis memasuki Thailand melalui bandar Betong.
Bagaimanapun, menurut pihak MForce, kami diberi keistimewaan dan layanan kelas VIP oleh Datuk Bandar Betong kerana kehadiran kami sangat dialukan-alukan selain memaparkan perspektif menarik mengenai apa yang terdapat di Betong.
Untuk sampai di bandar Betong, menjadi satu kemestian bagi penunggang motosikal untuk sampai ke kedai Betong Route 410. Ia juga boleh dianggapkan sebagai trade mark atau penanda aras bagi semua konvoi bermotosikal menjejaki kaki ke kedai itu.
Walaupun kedatangan kami agak lewat dari waktu yang dijangkakan, kehadiran kami, tetap disambut mesra dan meriah oleh Timbalan 1 Datuk Bandar Betong, Sufri Piyanonpong dan pemilik Betong Route 410, yang dikenali dengan panggilan Halim YB sahaja.
Menurut pejabat Datuk Bandar Betong, aktiviti konvoi bermotosikal oleh media Malaysia ke sini merupakan julung kalinya diadakan oleh sesebuah syarikat motosikal seperti MForce dan kami adalah media permotoran pertama dari Malaysia yang diberi sambutan hangat oleh sebuah agensi tempatan.
Selain diberi sijil khas sebagai tanda penghargaan kepada semua wakil media yang hadir, kami juga turut diraikan pada satu majlis makan malam dengan sajian masakan Thai di Laila Ikan Bakar sebelum kembali semula ke Hotel Butterfly.
Tidak banyak aktiviti yang kami lakukan sebaik majlis makan malam bersama Timbalan Datuk Bandar Bentong dan pegawai polis Bandar Bentong kerana waktu sebenarnya semakin lewat tambahan seawal pagi esok, kami harus menempuh satu aktiviti utama yang perlu wakil media harungi.
Untuk itu, kami memerlukan rehat secukupnya untuk bangun seawal jam 4 pagi bagi menyaksikan pengalaman paling mengujakan apabila menyaksikan awan di Iyer Weng Sea Cloud, tidak jauh dari penginapan kami.
Betong Syurga Bagi Penggemar Alam Hijau
Penantian kami yang bangun seawal jam 4.00 pagi untuk ke lokasi Iyer Weng Sea Cloud akhirnya tercapai ketika jarum jam menunjukkan angka 5.00 pagi. Ia gara-gara ada kalangan wakil media terlajak meneruskan mimpi indah dek kepenatan ketika perjalanan singkat ke Betong di waktu siang sebelum ini.
Begitupun, perjalanan kami untuk mendaki ke pusat pelancongan terkenal Iyer Weng Sea yang merangkumi perjalanan sejauh 40km tidak menggunakan motosikal. Sebaliknya, pihak MForce sudah merancang untuk menggunakan kenderaan Tuk Tuk yang cukup popular untuk sampai ke destinasi tersebut.
Tuk Tuk merupakan pengangkutan seperti teksi dan ia sama sekali agak berbeza dengan ‘abangnya’ yang terdapat di kota Bangkok. Di sini, Tuk Tuk merupakan van kecil yang mampu memuatkan sejumlah 8-9 orang dewasa di bahagian belakang.
Menurut Halim YB (pemilik kedai Route 410), pihak Tourism Daerah Betong sengaja membawa media Malaysia menggunakan kenderaan Tuk Tuk bagi memberi keselesaan kepada kami tambahan waktu pagi yang agak gelap mungkin merbahaya dan menyukarkan penglihatan kepada penunggang motosikal.
Selain itu, Tourism Betong juga ingin mempromosikan perkhidmatan Tuk-Tuk yang sebenarnya adalah pengangkutan awam yang mampu digunakan oleh pelancong terutama dari Malaysia ketika singgah bermalam di daerah Betong ini.
Kami tiba di kawasan letak kereta Iyer Weng Sea sekitar jam 6 pagi dan sememangnya kawasan itu sudah dipenuhi ramai pelancong tempatan dan luar terutamanya Malaysia untuk melihat secara dekat permandangan indah awan di puncak ini.
Bagi naik ke atas puncak tertinggi Iyer Weng Sea, kami terpaksa membayar sewa motosikal kerana mana-mana kenderaan samada motosikal atau kereta tidak dibenarkan naik sehingga ke puncak yang jarak sekadar 1 km sahaja.
Kami dikenakan caj dengan kadar RM2.00 seorang untuk sampai ke puncak sementara bagi perjalanan balik, setiap pelancong dikenakan caj RM1.00 sewaktu menurun puncak Iyer Weng Sea.
Ketinggian puncak Iyer Weng Sea adalah setinggi 2,038 kaki dan pada aras itu kami menyaksikan kelompok awan yang terapung sekali gus menutupi sebahagian tanah di kawasan rendah.
Kesejukannya tidaklah sedingin cuaca seperti di Cameron Highlands atau Genting Highlands namun kami tetap mengenakan baju tebal atau jaket ketika berada di atas puncak terbabit.
Hampir sejam lebih kami menikmati pemandangan di kawasan Iyer Weng Sea dan tibanya masa untuk kami mencari sarapan pagi kerana irama perut semakin kuat berdendang. Sebenar ada banyak pilihan makanan yang menanti kami di sepanjang lereng untuk kaki Bukit Iyer Weng Sea tersebut, namun pihak MForce telah menyiapkan kejutan buat wakil media dengan santapan pagi yang cukup istimewa.
Makan dan minum di dalam sungai menjadikan keletihan kami dek bangun awal di waktu pagi, memanjat puncak Iyer Weng Sea dan bergambar sekitar puncak itu hilang begitu sahaja. Tatkala melihat kejernihan air sungai itu, bukan santapan pagi yang kami kejarkan sebaliknya kesejukan air itu membuatkan kami semua terasa bagaikan mahu mandi atau berendam untuk menghilangkan kelesuan.
Tidak dinafikan, kreativiti rakyat Thai dalam melayani pelancong asing cukup terpuji. Ada saja gambaran menarik yang akan mereka paparkan. Tidak hairanlah, daerah Betong yang dibuka sejak 200 hingga 300 ratus dahulu yang sebelum ini hanyalah sebuah perkampungan Melayu Yala, kini menjadi tumpuan pelancong khususnya dari Malaysia dan Singapura selain pelancong tempatan.
Terdahulu, pihak Tourism Betong dari Pejabat Tanah Daerah Betong, turut berkongsi maklumat dan informasi kepada wakil media Malaysia mengenai keindahan dan kepelbagaian yang dikecapi oleh pelancong luar seandai hadir di bandar Betong ini.
Menurut seorang pegawai Tourism Betong yang hanya dikenali sebagai Suzana Hayee Ishak, daerah Betong adalah pintu masuk pelancong asing di bahagian selatan Thailand. Bermula dari masakan ala Thai hingga ke barangan yang jauh lebih murah seperti pakaian dan aksesori motosikal, Tourism Betong turut menyenaraikan 29 keunikan yang wajib dinikmati pelancong terutamanya Malaysia ketika mengunjungi Bandar Betong.
Tourism Betong dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand turut membawa kumpulan media dari Malaysia ke destinasi menarik antaranya melawat Piramit Tunnel, sebuah tempat pelancongan yang banyak menyimpan khazanah alam dan sejarah sewaktu dahulu.
Di sinilah terletaknya muzium bagi Parti Komunis Malaya yang melarikan diri ketika era Perang Dunia ke-2, terowong komunis di bawah tanah sejauh 1km yang dibina sekitar tahun 1976 dan pokok berusia 1,000 tahun yang juga terletak dalam kawasan Kampung Ban Piyamit 1.
Kami juga dibawa melawat Betong Hot Spring, sebuah kolam air panas yang terletak di Ban Jarohpatai iaitu hampir 5km dari pekan Betong. Ia menyerupai tempat perkhemahan di kolam air panas Sg Klah di Sungkai, Perak di mana ia kerap dikunjungi pelancong tempatan ketika cuti am mahupun hujung minggu.
Seperti Malaysia, penduduk di daerah Betong juga turut didiami oleh rakyat yang menganuti pelbagai agama. Apa yang penulis saksikan, masyarakat di Betong ini cukup unik dan bergaul dalam suasana yang cukup harmoni serta menghormati antara satu sama lain.
Ini dapat disaksikan oleh wakil media Malaysia betapa sekali pun berlainan agama iaitu Buddha dan Muslim mereka tetap akrab serta toleransi dikalangan mereka.
Menurut Sufri Piyanonpong (Timbalan Datuk Bandar Bentong), keharmonian penduduk di daerah Betong cukup teguh dan gambaran negatif yang kerap dilemparkan oleh media luar bukan gambaran sebenar yang terjadi pada masyarakat di Betong ini.
Menjelang malam, kami ke Garden View Restaurant untuk menikmati makan malam bersama Kelab Motosikal RFS yang secara kebetulan turut mengadakan himpulan bagi ahli-ahli kelab Malaysia di Betong ini.
Sepanjang 3 hari dan dua malam di Betong ini, segala catatan dan pengalaman menarik disamping menjarahi keindahan bandar Betong akan kami titipkan dalam penulisan kami. Memang benar, masa yang kami luangkan cukup pendek dan agak terhad.
Seperti yang penulis nyatakan sebelum ini, Betong sebenarnya memiliki 29 keunikan yang harus pelawat atau pelancong kunjungi namun dek masa yang agak terbatas, kami sekadar dapat memenuhi beberapa lokasi menarik dengan bantuan Tourism Betong.
Sudah pastinya penghargaan diberikan kepada pasukan MForce sendiri. Kerja keras dan penat lelah krew pengurusan MForce yang sentiasa ceria memenuhi kehendak dan ragam wakil media menjadikan program Media Ride To Betong 2019 satu program yang cukup hebat untuk kami kenang sepanjang tahun ini.
Sampai jumpa lagi. Sawadikap.
Catatan : Mohd Izzuddin Kamaruddin