Formica Rossa 150 atau singkatan FR150 dilihat sebagai jentera terbaharu dari MForce Bike Holdings Sdn Bhd yang mampu menjadi saingan dua jenama paling digilai ramai golongan muda hari ini. Tergolong dalam kategori supermoped berkuasa 150cc, FR150 merupakan produk dari jenama Voge dilihat memiliki banyak banyak kelebihan dan tambah nilai buat pengguna yang mahukan sebuah jentera yang bukan dari buatan Jepun.
Untuk info, model Voge ini telah diperkenalkan di pameran Malaysia Autoshow pada Mei lepas manakala pada acara MForce Track Day, pengamal media permotoran termasuk RoadStar berpeluang menunggang uji Voge FR150 di atas Litar Beranang Horizon Track.
Kali pertama mencuba model ini, penulis jelas merasai kelebihan dan juga kekurangan yang terdapat model ini. Namun harus diingat, segala penulisan yang cuba penulis lontarkan bukanlah pendapat rasmi pengeluar namun ia sekadar pandangan peribadi penulis.
Ungkapan awal penulis ialah model ini agak berbaloi dan tidak rugi untuk dimiliki. Sekali pun, ramai yang agak skeptikal dengan motosikal dari China, Voge FR150 yang dijana oleh enjin 150cc, silinder tunggal, DOHC, 4 Valve, penyejukan cecair, dari sudut fakta model ini mampu menghamburkan 15.42hp @ 8,500rpm dan tork maksimum 13.5Nm @ 7,500rpm.
Melihat kepada enjin motosikal ini, FR150 memiliki kapasiti blok sebesar 57.3mm x 58mm. Jika perbandingan dibuat, jentera ini memiliki prestasi enjin menyamai kekuatan twin-cam 150cc dari model Honda RS-X. Ini dapat dilihat ketika penulis memerah kelajuan FR150 pada kedudukan laluan lurus, motosikal ini mampu menghampiri jangkaan sekitar 135 km/j hingga 140km/j. Kelajuan yang penulis perah dapat ‘disekat’ dengan baik kerana FR150 turut dilengkapi sistem pemberhentian ABS dual channel pada jentera ini.
Hal itu membolehkan penulis mengawal kelajuan dan pergerakan jentera itu dengan baik. Untuk info juga, sistem brek dual channel yang digunakan pada model Voge FR150 merupakan kali pertama dalam keluaran model-model dari MForce.
Bagi yang belum mengetahui pasal harga, Voge FR150 dijual pada tag harga RM8,888 namun menampilkan elemen-elemen mewah pada sebuah motosikal supermoped. Antara ciri-ciri mewah pada Voge FR150 adalam sistem kunci pintar, panel meter digital, talaan lampu jenis LED penuh dan port pengecasan USB.
Bagi yang mahu menjadikan jentera dua roda ini sebagai pengangkutan pelbagai guna (urusan kerja dan santai hujung minggu) Voge FR150 dibekalkan dengan tangki bahan api yang agak besar. Dari segi fakta, Voge FR150 dibekalkan dengan tangki 5.8L dan ia mengatasi pencabar dalam segmen 150cc seperti Honda RSX, Yamaha Y15ZR, Suzuki Raider R150 malah Yamaha Y16ZR juga tidak mampu menyaingi tangki minyak milik Voge FR150 ini.
Begitu pun, mungkin ramai yang masih sangsi dengan kemunculan Voge FR150 bukan sekadar mampu untuk menjadi pencabar kepada 3 jentera dari Jepun seperti yang diketengahkan oleh penulis malah tidak kurang juga yang sangsi dengan alatan ganti dan juga komponen yang boleh diketengahkan sebagai kosmetik bagi mencantikkan jentera ini.
Dari segi penampilan, penulis tidak banyak bicara mengenai imej yang ditampilkan. Imej yang ditawarkan oleh Voge FR150 nampak sedap mata memandang. Sekali pun ada yang beranggapan bahawa model dari China ini ibarat ‘copy and paste’ jenama dari model terkemuka, penulis sekadar beranggapan ia sekadar solekan secara kebetulan.
Jika dilihat, Voge FR150 yang hadir dengan 3 torna warna menarik iaitu Bold Blue, Canary Yellow dan Heat Red menampilkan rekaan panel ‘body’ yang agak aerodinamik. Elemen bergaris menampilkan ciri-ciri sebuah motosikal yang agak laju dan agresif. Rekaan dibahagian depan dan belakang cukup mengujakan.
Sekiranya anda ingin menampilkan Voge FR150 dengan imej yang lebih garang, jangan khuatir kerana jenama alat ganti Rapido hadir untuk menampakkan kekemasan yang anda mahukan. Imej sebuah motosikal hasil kreativiti Rapido dengan penampilan garang dan agresif pernah dipertontonkan pada pameran Malaysia Autoshow Mei lepas.