Malaysia Superbike Championship ; Race 2!

Pusingan terakhir yang cukup mendebarkan dan dalam masa yang sama mengujakan untuk kategori MSBK1000 A pada Malaysia Superbike Championship (MSBK) yang menyaksikan Kasma Daniel Kasmayudin muncul juara. Pelumba yang mewakili YAMAHA Racing Team ASEAN ini menjulang kemenangan sebelum kategori ini menutup tirainya.

Satu lagi kemenangan bergaya dan pastinya saat-saat yang indah buat Kasma. Pelumba dengan potensi luar biasa ini telah menaiki podium sebanyak lapan kali dan menang sebanyak empat kali untuk tahun ini. Sepanjang perlumbaan, Kasma memerah kelajuan terbaiknya untuk mengekalkan kedudukan. Walaupun Zaqhwan mengekori begitu hampir di belakang, namun kepantasan Kasma sukar ditandingi.

Pada pusingan terakhir ini Kasma telah mencatatkan masa sepantas 23’35:922 saat dan bukan sahaja muncul juara untuk pusingan ini sahaja sebaliknya muncul sebagai juara keseluruhan dengan 180 mata terkumpul. Menurut Kasma, beliau sangat berterima kasih kepada pasukan yang meletakkan kepercayaan serta menyokong tanpa henti.

Kata Kasma lagi, terdapat komplikasi ketika perlumbaan berlangsung di mana litar agak licin dan beliau hampir terbabas. Bagaimanapun, beliau berjaya mengawal jentera yang digunakan dan gembira kerana berjaya menduduki tempat teratas dan memenangi gelaran juara MSBK untuk musim ini.

Di tempat kedua pula dimenangi Muhd Zaqhwan Zaidi dari pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA dengan catatan masa 23’41:072s. Diikuti di tempat ketiga yang dimenangi Takuya Tsuda dari Mobilub Suzuki Racing Team dengan catatan masa 24’58:128s.