Lebih 2,500 Penunggang Berhimpun di Kuala Lumpur

Fenomena 2 Roda Vol. 2 anjuran Kelab Permotoran Fenomena 2 Roda Selangor kembali mencetus gelombang meriah di ibu kota apabila lebih 2,500 motosikal membanjiri tapak parkir Kampung Baru, Kuala Lumpur. Program yang diketuai Moyy F2R ini turut menerima kerjasama daripada YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi, sekali gus mengangkat acara ini sebagai salah satu perhimpunan motosikal paling besar di kawasan tersebut.

Penganjuran kali ini turut disokong oleh barisan penaja utama seperti SBA Garage Motorpart, Estremo, Tobaki, Zynergys, XPXB, JK Helmet, JOND, Shad Malaysia, KHI, Koyoko serta Budak Keramat. Kehadiran jenama-jenama ini bukan sahaja menambah kemeriahan acara, malah mempamerkan sokongan kuat komuniti permotoran tempatan terhadap program berbentuk himpunan santai dan kekeluargaan seperti ini.

Fenomena 2 Roda Vol. 2 menawarkan pelbagai aktiviti sampingan yang berjaya menarik perhatian pengunjung sepanjang hari. Antara tarikan utama ialah Autoshow Motor, Showoff Motor, jualan aksesori permotoran dan sesi lepak santai “Abang Bob Kapchai Calling Town” yang menjadi medan berkumpul ramai rakan rider dari seluruh negara. Lucky draw turut menjadi tumpuan apabila pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada peserta.

Suasana semakin hangat dengan persembahan artis jemputan Ayie Leon dan Roy Ratnaku yang menghiburkan para pengunjung. Gabungan acara permotoran, hiburan dan aktiviti komuniti terbukti menjadi formula yang berjaya mengangkat Fenomena 2 Roda sebagai sebuah platform perhimpunan besar yang mesra rakyat dan terbuka kepada semua lapisan usia.

Acara kali ini turut disertai pelbagai kelab motosikal dari serata kawasan, antaranya Set-Set Pulas Crew, Apachee Sereng, Team Shell, Gegar, BMKL, Santai Scooterist, RD Club, No Kroni, Red WGP, Sempoi Motor Club dan Hashwan Racing. Kehadiran mereka bukan sahaja memeriahkan program, tetapi menunjukkan perpaduan komuniti permotoran yang semakin kukuh dan aktif di Malaysia.

Dengan sambutan begitu menggalakkan, Fenomena 2 Roda Vol. 2 berjaya menutup tahun dengan penuh warna dan semangat kekeluargaan. Program ini menjadi bukti bahawa komuniti dua roda bukan sekadar berkumpul untuk hiburan, tetapi juga bagi mengukuhkan hubungan, memperkenal budaya positif dalam dunia permotoran dan membina jaringan komuniti yang lebih besar untuk masa hadapan.